
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan berjumlah RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam daripada Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
- Bantuan khas RM750 diberikan kepada lebih satu juta pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
- Pembayaran bantuan akan dibuat dua kali; sebelum Aidilfitri dan sempena ambang 70 tahun merdeka.
- Sumbangan khas RM750 diberikan kepada 70,000 guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada akhir pembentangan Belanjawan 2027.
“Mengenang jasa penjawat awam, kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan khas kewangan untuk tahun depan, sebanyak RM1,500 kepada 1.3 juta penjawat awam Gred Utama B dan ke bawah termasuk lantikan kontrak.
“Bantuan khas kewangan sebanyak RM750 turut diberikan kepada lebih satu juta pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen,” katanya.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan, berkata pembayaran bantuan khas itu akan dilakukan sebanyak dua kali, iaitu sebelum sambutan Aidilfitri dan sempena ambang 70 tahun merdeka.
Sementara itu Perdana Menteri turut memaklumkan bahawa kerajaan juga bersetuju untuk menyalurkan sumbangan khas sebanyak RM750 sebagai menghargai jasa 70,000 guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi bacaan kali kedua bertemakan ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ di Dewan Rakyat.
Belanjawan 2027 merupakan belanjawan kedua bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), yang menjadi kerangka pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.