Peruntukan baik pulih sekolah dinaikkan kepada RM2 bilion

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan meningkatkan peruntukan bagi kerja membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah kepada RM2 bilion bagi tahun depan, berbanding RM1 bilion sebelum ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan khusus: SK RM900 juta, SJKC RM100 juta dan SJKT RM50 juta untuk baik pulih serta penyelenggaraan.
  • Peruntukan bagi sekolah agama rakyat, tahfiz dan sekolah pondok di bawah JAKIM dinaikkan kepada RM200 juta; bantuan merangkumi kos operasi.
  • Hampir RM1.3 bilion disediakan untuk menaik taraf 682 sekolah daif, dengan fokus di Sabah dan Sarawak.
  • Menampung hampir 500,000 murid Tahun Satu, termasuk lebih 70,000 kanak-kanak enam tahun; 3,500 bilik darjah tambahan dibina menerusi IBS.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan peruntukan itu meliputi sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil, selain sekolah agama rakyat, institusi tahfiz serta sekolah pondok berdaftar di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Kerajaan bersetuju supaya peruntukan bagi membaik pulih dan menyelenggara semua jenis sekolah ditingkatkan, daripada RM1 bilion kepada RM2 bilion,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat.

Menurut Datuk Seri Anwar, peruntukan bagi sekolah kebangsaan ditingkatkan kepada RM900 juta, manakala sekolah jenis kebangsaan Cina menerima RM100 juta dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT) sebanyak RM50 juta.

“Peruntukan bagi sekolah agama rakyat, institusi tahfiz dan sekolah pondok berdaftar di bawah JAKIM pula dinaikkan kepada RM200 juta, dengan skop bantuan diperluas untuk merangkumi kos operasi institusi berkenaan,” katanya.

Selain itu, Perdana Menteri memaklumkan, hampir RM1.3 bilion disediakan bagi menaik taraf 682 sekolah daif, khususnya di Sabah dan Sarawak.

Katanya, meskipun jumlah murid di SJKT secara relatifnya lebih kecil, keadaan prasarana sekolah yang daif memerlukan perhatian segera.

“Kerajaan turut merancang pembinaan sekolah baharu, bangunan prasekolah serta penambahan kemudahan di sekolah sedia ada.

“Antara projek yang dikenal pasti ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Chemor di Ipoh, Perak; Kompleks Sekolah Bandar Serenia di Sepang, Selangor; pembinaan gantian penuh Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Ladang Pamol di Kluang, Johor; Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bandar Mahkota Cheras; serta bangunan prasekolah di SK Bulu Silou, Keningau, Sabah,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, hampir 500,000 murid dijangka memasuki Tahun Satu pada tahun hadapan, termasuk lebih 70,000 kanak-kanak berusia enam tahun.

“Dalam usaha menampung pertambahan murid Tahun Satu, sebanyak 3,500 bilik darjah tambahan dijangka siap dibina menjelang akhir tahun ini menerusi kaedah Sistem Binaan Berindustri (IBS),” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, sebuah kolej matrikulasi baharu sedang dibina di Marang, Terengganu.

Keseluruhan, Kementerian Pendidikan kekal menerima peruntukan tertinggi, iaitu hampir RM69 bilion berbanding RM66.2 bilion pada tahun ini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.