
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan meneruskan pendekatan perbelanjaan yang lebih besar untuk menyokong aktiviti ekonomi negara, dengan jumlah keseluruhan Belanjawan MADANI Kelima meningkat kepada RM510 bilion.
- Pembahagian belanja: RM376.8b mengurus, RM83b pembangunan, RM25b GLIC, RM11b PPP, RM14.2b MKD
- Belanjawan 2027 dibentang untuk bacaan kali kedua bertema Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi
- Hasil persekutuan diunjur meningkat kepada RM363.6 bilion 2026 dan RM380.8 bilion pada 2027
- Defisit fiskal 2026 diunjur 3.6% naik sedikit; dijangka 3.3% 2027, menuju sasaran 3% 2028; nisbah hutang turun ke 63.7%
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, angka itu meningkat RM40 bilion berbanding RM470 bilion sebelum ini.
“Pecahannya RM376.8 bilion ringgit belanja mengurus Persekutuan; RM83 bilion belanja pembangunan Persekutuan; RM25 bilion ringgit pelaburan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC).
“RM11 bilion pelaburan awam-swasta; RM14.2 bilion pelaburan Badan Berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 bagi bacaan kali kedua bertemakan ‘Malaysia MADANI: Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi’ di Dewan Rakyat.
Belanjawan 2027 merupakan belanjawan kedua bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), yang menjadi kerangka pembangunan negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Dalam pada itu Perdana Menteri turut memaklumkan berkenaan hasil persekutuan bagi 2026 diunjur meningkat kepada RM363.6 bilion berbanding anggaran asal RM343.1 bilion. Hasil persekutuan dijangka terus meningkat kepada RM380.8 bilion pada 2027.
Krisis di Asia Barat turut menyebabkan perbelanjaan subsidi bahan api meningkat kepada RM40 bilion.
Susulan itu, defisit fiskal negara bagi 2026 kini diunjur meningkat kepada 3.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), berbanding sasaran asal 3.5 peratus.
Bagaimanapun kadar itu kekal dalam jalur berkurang daripada 5.5 peratus yang direkodkan pada 2022 dan 3.7 peratus pada 2025.
Defisit pada 2027 dianggarkan akan berkurang ke paras 3.3 peratus dalam usaha menuju sasaran tiga peratus menjelang 2028.
Hasil penurunan defisit dan jumlah hutang baharu yang terkawal membolehkan tahap hutang Kerajaan Persekutuan kepada Kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan berkurang kepada 63.7 peratus pada 2027.
Perkara itu susulan penurunan defisit dan jumlah hutang baharu yang menunjukkan penurunan secara konsisten iaitu 65.2 peratus direkodkan pada 2025 dan semakin berkurang pada 2026 dengan 64 peratus.