
KUALA LUMPUR, 9 Oktober – Kerajaan meningkatkan nilai perolehan yang dikhususkan untuk kontraktor Bumiputera Gred G1 hingga G4 kepada RM7.5 bilion, berbanding RM4 bilion tahun 2026, bagi memperluas peluang mereka memperoleh projek kerajaan.
- Had perolehan: lantikan terus sehingga RM200,000; sebut harga sehingga RM3 juta bagi kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan fasiliti kerajaan.
- Pembiayaan diperkukuh: TERAJU sediakan sehingga RM1 bilion dan diperkasa untuk memantau 32 projek merentas agensi.
- Inisiatif hijau dan peluang perolehan: pelaburan taman solar RM1.5 bilion dan 150MW LSS6 dikhususkan untuk syarikat Bumiputera.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata berkata peningkatan itu dibuat selepas beliau mengadakan sesi libat urus bersama wakil persatuan dan syarikat kontraktor Bumiputera bagi mendengar sendiri keresahan berkaitan perusahaan mereka.
“Sukacita saya umumkan, nilai perolehan kerajaan yang dikhususkan untuk kontraktor Bumiputera G1-G4 ditingkatkan kepada RM7.5 bilion, ketimbang RM4 bilion tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat hari ini.
Ujar beliau, bagi kerja penyelenggaraan, pembaikan dan penambahbaikan fasiliti kerajaan, had perolehan secara lantikan terus dibenarkan sehingga RM200,000, manakala perolehan melalui sebut harga ditetapkan sehingga RM3 juta.
Kerajaan turut memperkukuh sokongan pembiayaan kepada perusahaan Bumiputera menerusi penyediaan pembiayaan sehingga RM1 bilion oleh TERAJU.
Perdana Menteri berkata keupayaan TERAJU turut diperkasa bagi membolehkan agensi itu memantau dengan lebih berkesan 32 projek Bumiputera merentas jabatan, agensi dan syarikat.
Selain itu, dana pembiayaan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) ditingkatkan kepada RM500 juta berbanding RM350 juta sebelum ini.
Bagi mengurangkan kos pembiayaan, kerajaan menetapkan duti setem sebanyak RM10 bagi perjanjian pinjaman dan pembiayaan di bawah Skim CAKNA II yang akan diperkenalkan dari 1 Januari 2027 hingga 31 Disember 2030. Kemudahan sama turut dilanjutkan bagi Skim CAKNA I sehingga 31 Disember 2030.
Dalam pada itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan PETRONAS menyasarkan perolehan berjumlah RM58 bilion daripada syarikat Bumiputera.
Mulai 2027, garis panduan perolehan GLC yang tidak disemak sejak 2006 akan diperbaharui. Kejayaan vendor juga akan dinilai berdasarkan pertumbuhan syarikat, inovasi dan keupayaan menembusi pasaran baharu.
Sementara itu, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) akan melabur RM2 bilion bagi memperkasa syarikat Bumiputera.
Ekuinas dan PHB, misalnya, akan membantu syarikat Bumiputera menuju penyenaraian awam serta memperkukuh pemilikan hartanah strategik.
Khazanah dan TERAJU turut mewujudkan Dana Ciptawan berjumlah RM250 juta bagi menyokong pertumbuhan syarikat pertengahan Bumiputera.
Dalam sektor tenaga bersih, taman solar berpusat untuk bangunan kerajaan akan dibangunkan menerusi pelaburan RM1.5 bilion, sekali gus membuka peluang kepada syarikat Bumiputera dalam bidang pembinaan, kejuruteraan dan penyelenggaraan.
Melalui projek solar LSS6, kapasiti 150 megawatt turut dikhususkan kepada syarikat Bumiputera bagi menyokong penyertaan mereka dalam industri tenaga bersih.
Kerajaan juga meneruskan Program 10 Juara Bumiputera dengan peruntukan RM40 juta bagi membangunkan 15 syarikat berpotensi menjelang 2027.