
PUTRAJAYA, 1 Oktober – Piawaian Perakaunan Islam bagi Baitulmal, Zakat dan Wakaf (PPIBZW) diperkenalkan bagi menyeragamkan kaedah perakaunan serta pelaporan kewangan institusi Baitulmal, zakat dan wakaf di seluruh negara.
- Penyeragaman pelaporan mewujudkan konsistensi antara negeri, memudahkan perbandingan prestasi dan mempertingkatkan proses audit.
- Meningkatkan ketelusan pengurusan kutipan serta aset zakat, wakaf dan Baitulmal, sekali gus menambah keyakinan masyarakat.
- 13 negeri mula melaksanakan PPIBZW secara berperingkat; pelaksanaan penuh dijangka tahun depan.
- PPIBZW dibangunkan JANM (2015–2025) berasaskan Siyasah Syariyyah dan Maqasid Syariah khususnya Hifzul Mal; lima panduan turut dilancarkan.
Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Kementerian Kewangan, Datuk Zamzuri Abdul Aziz, pelaksanaan piawaian itu mewujudkan kaedah pelaporan yang lebih konsisten antara negeri, sekali gus memudahkan perbandingan prestasi dan proses audit.
“Penyeragaman berkenaan turut meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kutipan serta aset zakat, wakaf dan Baitulmal, sekali gus membantu meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap pengurusan dana berkenaan,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Peluncuran dan Persidangan Perdana PPIBZW 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), hari ini.
Menurut Datuk Zamzuri, 13 negeri telah mula melaksanakan PPIBZW secara berperingkat, manakala pelaksanaan sepenuhnya dijangka dapat direalisasikan tahun depan.
“Sebelum ini terdapat perbezaan dalam piawaian dan amalan pelaporan antara negeri yang menyukarkan usaha membandingkan prestasi serta mengenal pasti ruang penambahbaikan.
“Penyeragaman itu turut membolehkan amalan pengurusan terbaik dikenal pasti dan dikongsi antara negeri, termasuk dalam aspek kutipan serta pengurusan dana,” katanya.
Dalam majlis sama, lima panduan PPIBZW turut diluncurkan, meliputi Kerangka Kerja Konseptual, Pembentangan Penyata Kewangan, Aset, Hasil, Belanja dan Liabiliti serta Pendedahan Lain.
PPIBZW dibangunkan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dalam tempoh 10 tahun dari 2015 hingga 2025, berasaskan prinsip Siyasah Syariyyah dan Maqasid Syariah, khususnya Hifzul Mal yang menekankan aspek pemeliharaan harta.