Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, mata wang utama

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR, 2 Oktober – Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dan kebanyakan mata wang utama pada Jumaat, disokong oleh permintaan yang kukuh terhadap mata wang tempatan walaupun data ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang baik mengukuhkan kedudukan mata wang negara itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • PMI Pembuatan ISM AS dicatatkan 54.5 pada September, sedikit menurun daripada 54.6 bulan sebelumnya.
  • Subindeks pesanan baharu meningkat kepada 55.3 daripada 53.7, menunjukkan aktiviti perniagaan dijangka kekal kukuh.
  • Ringgit naik berbanding euro dan pound, turun berbanding yen, serta menyusut atau tidak berubah berbanding mata wang ASEAN tertentu.

Pada 8 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0820/0885 berbanding dolar AS daripada 4.0830/4.0875 semasa ditutup pada Khamis.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Institute for Supply Management (ISM) AS dicatatkan pada 54.5 mata pada September berbanding 54.6 mata pada bulan sebelumnya.

“Subindeks pesanan baharu menunjukkan aktiviti perniagaan dijangka kekal kukuh, dengan indeks meningkat kepada 55.3 mata daripada 53.7 mata sebelumnya.

“Selain itu, tuntutan pengangguran awal terus menurun kepada 197,000 minggu lepas manakala purata tuntutan pengangguran untuk empat minggu terkini terus berkurangan kepada 200,000,” katanya kepada Bernama.

Berbanding mata wang utama, ringgit meningkat berbanding euro kepada 4.5914/5987 daripada 4.6015/6066 semasa ditutup pada Khamis, naik berbanding pound kepada 5.3870/3956 daripada 5.3896/3955 semalam.

Bagaimanapun, ringgit menurun berbanding yen Jepun kepada 2.5844/5886 daripada 2.5781/5811 sebelum ini.

Bagi mata wang ASEAN, ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1883/1936 daripada 3.1856/1894 semasa ditutup pada Khamis dan menyusut berbanding baht Thailand kepada 12.1207/1515 daripada 12.1111/1294 dicatatkan semalam.

Mata wang tempatan kekal tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 6.50/6.51 dan rupiah Indonesia kepada 227.2/227.6.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.