
KUALA LUMPUR, 17 November – Malaysia merekodkan pelaburan diluluskan berjumlah RM350.4 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026, meningkat 20.7 peratus berbanding RM290.3 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
- Pelaburan asing utama; Amerika Syarikat pemegang pelaburan terbesar, diikuti China, Singapura, Jepun dan Australia.
- Sektor perkhidmatan dan pembuatan mendahului; sektor utama naik 420 peratus, fokus kepada reka bentuk cip, elektronik termaju dan kejuruteraan jitu.
- 4,387 projek diluluskan yang dijangka mewujudkan 152,090 peluang pekerjaan; Johor, Selangor dan Pulau Pinang catat pelaburan tertinggi.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam kenyataannya memaklumkan, jumlah itu merangkumi 4,387 projek yang dijangka mewujudkan 152,090 peluang pekerjaan apabila dilaksanakan sepenuhnya.
Pelaburan asing menjadi penyumbang utama dengan nilai RM212.3 bilion, meningkat 40.7 peratus, manakala pelaburan domestik berjumlah RM138.1 bilion.
Amerika Syarikat muncul sebagai sumber pelaburan asing terbesar sebanyak RM60 bilion, lebih lima kali ganda berbanding RM11.3 bilion dalam tempoh sama tahun lepas, diikuti China, Singapura, Jepun dan Australia.
Dari segi sektor, perkhidmatan mendahului dengan pelaburan RM219.1 bilion, diikuti sektor pembuatan sebanyak RM106.3 bilion, manakala sektor utama mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 420 peratus kepada RM25 bilion.
Pengerusi MIDA, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peluang pekerjaan yang diwujudkan tertumpu kepada industri bernilai tinggi termasuk reka bentuk cip, elektronik termaju dan kejuruteraan jitu.
Menurut beliau, industri berkenaan bukan sahaja memperkukuh keupayaan perindustrian negara, malah meningkatkan kedudukan Malaysia dalam rantaian nilai global.
Di peringkat negeri, Johor mencatat pelaburan diluluskan tertinggi sebanyak RM99.7 bilion, diikuti Selangor RM87.9 bilion dan Pulau Pinang RM41.1 bilion.