Belanjawan 2027 pacu kuasa beli rakyat, rangsang perbelanjaan domestik

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 17 November – Belanjawan 2027 menyokong usaha kerajaan meningkatkan kuasa beli rakyat menerusi bantuan bersasar, insentif percukaian serta langkah mengurangkan tekanan kos sara hidup.

RINGKASAN BERITA AI
  • Langkah Belanjawan meningkatkan pendapatan boleh guna, merangsang perbelanjaan domestik dan menyokong matlamat Ekonomi MADANI.
  • Peningkatan kecairan pasaran dijangka meningkatkan kutipan SST dan hasil kerajaan melalui lonjakan penggunaan.
  • Kenaikan gaji minimum dijangka merancakkan pengguna; namun kos penggajian perlu diurus agar tidak membebankan PMKS.

Pengarah Strategi Pelaburan dan Ahli Ekonomi IPPFA, Mohd Sedek Jantan berkata, pendekatan berkenaan berpotensi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, sekali gus merangsang perbelanjaan domestik.

Menurutnya, peningkatan aktiviti penggunaan bukan sahaja dapat menyokong pertumbuhan ekonomi negara, malah selari dengan matlamat kerangka Ekonomi MADANI untuk meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Kita perlu melihat bagaimana kuasa beli rakyat atau insentif yang diberikan mampu meningkatkan kecairan dalam pasaran. Apabila kecairan pasaran meningkat, di sinilah Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) memainkan peranan dalam membantu meningkatkan kutipan hasil kerajaan.

“Ini kerana sebahagian besar peruntukan bajet disalurkan kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya pada sesi forum pasca Belanjawan 2027 anjuran bersama Persatuan Perancangan Kewangan Malaysia (FPAM) dan EY secara dalam talian.

Mengulas lanjut, Mohd Sedek berkata, peningkatan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 turut berpotensi meningkatkan perbelanjaan pengguna dan merancakkan aktiviti ekonomi.

Peningkatan penggunaan domestik juga dijangka memberi kesan limpahan kepada sektor perniagaan, seterusnya menyumbang kepada peningkatan hasil kerajaan melalui kutipan cukai.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa peningkatan kos penggajian perlu diurus dengan berkesan bagi mengelakkan tekanan kewangan terhadap majikan, khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.