
KUALA LUMPUR, 17 November – Tahap pembangunan manusia Malaysia kekal dalam kategori sangat tinggi pada 2025 dengan skor 0.824, berdasarkan Indeks Pembangunan Manusia Malaysia (MHDI) 2025 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
- MHDI mengukur pembangunan secara holistik melalui dimensi umur panjang dan kehidupan sihat, akses pengetahuan dan taraf hidup
- Indeks pendapatan tertinggi selari prestasi ekonomi positif termasuk pertumbuhan KDNK 5.2 peratus pada 2025
- Indeks jangkaan hayat meningkat selepas pengurangan kematian, namun Indeks Pendidikan menurun memberi cabaran kepada pencapaian pendidikan nasional
DOSM dalam kenyataannya, memaklumkan pencapaian itu mencerminkan kemajuan pembangunan negara yang bukan sahaja diukur menerusi prestasi ekonomi, malah turut mengambil kira aspek kesihatan dan pendidikan.
”MHDI dibangunkan berasaskan umur yang panjang dan kehidupan yang sihat, akses kepada pengetahuan taraf hidup yang baik.
”Ketiga-tiga dimensi ini mencerminkan pendekatan holistik dalam mengukur pembangunan supaya tiada aspek kesejahteraan manusia diketepikan,” jelas DOSM dalam kenyataannya, hari ini.
Bagi dimensi pendapatan, Indeks Pendapatan Negara Kasar (PNK) merekodkan skor tertinggi iaitu 0.897, meningkat berbanding 0.891 pada 2024.
Peningkatan itu selari dengan prestasi ekonomi negara yang positif, termasuk pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.2 peratus pada 2025.
Indeks Jangkaan Hayat turut meningkat kepada 0.843 berbanding 0.837 pada tahun sebelumnya, didorong pengurangan jumlah kematian bagi tempoh 2023 hingga 2025 berbanding tempoh 2020 hingga 2022 ketika pandemik COVID-19.
Bagaimanapun, dimensi pendidikan menunjukkan perkembangan berbeza apabila Indeks Pendidikan menurun kepada 0.740 berbanding 0.751 pada 2024.
Penurunan itu dipengaruhi perkembangan dalam aspek jangkaan tempoh persekolahan serta pencapaian pendidikan penduduk.
Dari segi taburan negeri, Kuala Lumpur merekodkan skor MHDI tertinggi iaitu 0.883, diikuti Putrajaya (0.878) dan Labuan (0.852).
Pulau Pinang dan Selangor masing-masing mencatatkan skor 0.849, diikuti Melaka (0.830), Negeri Sembilan (0.827), Sarawak (0.822), Pahang (0.810) dan Johor (0.808).
Sementara itu, enam negeri berada pada tahap pembangunan manusia tinggi iaitu Perak (0.798), Terengganu (0.794), Perlis (0.784), Kedah (0.779), Sabah (0.767) dan Kelantan (0.765).
Perbandingan tahunan menunjukkan 12 negeri mencatatkan peningkatan skor MHDI, manakala empat wilayah dan negeri iaitu Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor serta Johor merekodkan penurunan.
Secara keseluruhan, pencapaian MHDI itu menunjukkan pembangunan manusia Malaysia terus berada pada tahap sangat tinggi, meskipun dimensi pendidikan masih mencatatkan penurunan berbanding tahun sebelumnya.