
PUTRAJAYA, 17 November – Pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi suku ketiga 2026 dijangka berada pada paras 5.3 peratus selaras dengan unjuran awal Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
- Unjuran pertumbuhan suku ketiga dibuat berasaskan jangkaan awal DOSM; angka rasmi KDNK dijangka akan diumum esok.
- Menteri Ekonomi menyatakan anggaran awal mungkin belum lengkap kerana beberapa aspek masih belum disempurnakan.
- DOSM biasanya mendapati anggaran awal hampir sama dengan angka sebenar; KDNK sembilan bulan tercatat 5.5 peratus.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, unjuran itu adalah berdasarkan jangkaan awal pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku ketiga yang akan diketahui esok.
“Setakat ini, seperti yang kita unjurkan, ataupun anggaran awal untuk suku ketiga adalah pada 5.3% dari segi pertumbuhannya.
“Kalau saya teliti balik dari segi dapatan sebelum ini, bila kita meletakkan anggaran awal itu juga ada beberapa perkara yang sebenarnya belum disempurnakan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini, yang turut dihadiri Timbalannya, Datuk Seri Mohd Shahar Abdullah.
Akmal Nasrullah berkata berdasarkan pengumuman terdahulu, anggaran awal DOSM lazimnya tidak jauh berbeza daripada angka sebenar, selain mengambil pendekatan yang berasaskan keadaan ekonomi semasa.
Sebelum ini, anggaran awal DOSM menunjukkan ekonomi negara mencatatkan pertumbuhan 5.3 peratus pada suku ketiga tahun ini dan KDNK negara bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 setakat ini dilaporkan mencecah 5.5 peratus.