Penyelia kilang didakwa cuba sogok polis

Tertuduh, M. Dhivan, 31 mengaku tidak bersalah cuba merasuah anggota yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal, IPD Segamat/Foto RTM

JOHOR BAHRU, 22 April – Seorang penyelia kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan memberi suapan kepada seorang anggota polis, Januari tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa memberi suapan RM18,500 kepada anggota Unit Rondaan Bermotosikal IPD Segamat sebagai dorongan supaya tindakan undang-undang terhadapnya dan rakannya tidak diambil.
  • Turut berdepan pertuduhan memiliki dadah mengikut Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
  • Mahkamah membenarkan jaminan RM6,000 dengan syarat lapor diri bulanan di pejabat SPRM dan sebutan semula kes pada 5 Jun.

Tertuduh, M. Dhivan, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa secara rasuah memberi wang tunai berjumlah RM18,500 kepada seorang anggota yang bertugas di Cawangan Unit Rondaan Bermotosikal, Ibu Pejabat Polis Daerah Segamat.

Ia sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang keatas diri dan rakannya, yang memiliki rekod lampau jenayah.

Selain kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Perbuatan itu dilakukan di Kilometer 1.89 Jalan Buloh Kasap-Segamat, 24 Januari 2025, pukul 4.00 pagi.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Fazal Lisam Abidin manakala tertuduh diwakili peguam K. Nahtan.

Mahkamah membenarkan jaminan enam ribu ringgit berserta syarat tambahan lapor diri di Pejabat SPRM Ipoh, Perak, sebulan sekali dan kes disebut semula 5 Jun hadapan, bagi serahan dokumen.