Juruteknik maut selepas kenderaan dirempuh pikap di Pan Borneo Bau-Lundu

Dua kenderaan terlibat kemalangan di Kilometer 20 Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Bau-Lundu / Foto RTM

BAU, 17 Jun – Seorang juruteknik berusia 60 tahun maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah pikap di Kilometer 20 Lebuh Raya Pan Borneo, Jalan Bau-Lundu, berhampiran persimpangan Kampung Sipadah, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Siasatan awal: pikap dipandu penuntut UNIMAS, 22, dari Lundu ke Kuching; SUV tiba-tiba keluar dari simpang.
  • Jarak terlalu dekat menyebabkan pemandu pikap tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kiri SUV.
  • Pemandu SUV mengalami kecederaan parah, dikejarkan ke Hospital Bau dan disahkan meninggal dunia di Jabatan Kecemasan.
  • Pemandu pikap tidak mengalami kecederaan; kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 tengah hari itu, mangsa yang berasal dari Kampung Stenggang, Jalan Bau-Lundu mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Bau.

Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A. Rahman berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan tersebut sekitar pukul 1.45 tengah hari.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati sebuah pikap yang dipandu penuntut Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari arah Lundu menuju ke Kuching sebelum SUV yang dipandu mangsa tiba-tiba keluar dari simpang.

“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu pikap itu tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian hadapan sebelah kiri SUV.

“Akibat perlanggaran itu, pemandu SUV mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke Hospital Bau,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan hospital, manakala pemandu pikap pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat pemanduan melulu atau berbahaya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.