Pelajar IPTS ditahan cuba seludup hampir 15kg bunga ganja di Bukit Kayu Hitam

Bunga ganja bernilai kira-kira RM1.17 juta telah dirampas / Foto RTM

ALOR SETAR, 17 Jun – Cubaan seorang pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) menyeludup 14.63 kilogram (kg) bunga ganja bernilai kira-kira RM1.17 juta ke negara ini berjaya dipatahkan polis di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Isnin lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Seorang pelajar IPTS, 24 tahun, ditahan ketika memandu kenderaan ibu selepas memasuki negara dari negara jiran.
  • Pemeriksaan menemui beberapa bungkusan plastik hitam berisi bahan disyaki bunga ganja disorokkan di bahagian tempat duduk belakang.
  • Suspek mengaku empat kali berjaya membawa masuk bekalan untuk dihantar ke Johor dan Kuala Lumpur, menerima upah RM4,000 bagi setiap penghantaran.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952; suspek direman dan berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan.

Suspek lelaki berusia 24 tahun itu ditahan ketika memandu sebuah kenderaan pacuan empat roda milik ibunya selepas memasuki negara ini dari negara jiran.

Timbalan Ketua Polis Kedah, DCP Baderulhisham Baharudin berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan tersebut menemukan 13 bungkusan plastik berwarna hitam yang mengandungi bahan disyaki dadah jenis bunga ganja seberat 14.63kg yang disorokkan di bahagian tempat duduk belakang.

“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai berperanan sebagai transporter bagi sindiket penyeludupan dadah yang membawa masuk bekalan dari negara jiran sebelum diedarkan ke beberapa lokasi dalam negara.

“Rampasan ini dipercayai berjaya menghalang sejumlah besar bekalan dadah daripada memasuki pasaran tempatan sekali gus melindungi masyarakat daripada ancaman penyalahgunaan dadah,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku telah empat kali berjaya membawa masuk bekalan dadah dari negara jiran untuk dihantar ke Johor dan Kuala Lumpur dengan upah sebanyak RM4,000 bagi setiap penghantaran.

Tambahnya, polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti rangkaian penuh sindiket termasuk sumber bekalan, rangkaian pengedaran serta individu lain yang dipercayai terlibat dalam kegiatan tersebut.

Beliau turut memaklumkan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif tetrahydrocannabinol (THC), iaitu bahan aktif yang terdapat dalam ganja.

Suspek kini direman selama enam hari sehingga 21 Jun ini bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.