
KUALA LUMPUR, 17 Jun – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman 13 individu termasuk seorang pengarah dan bekas pengarah sebuah agensi kerajaan di Perak kerana disyaki terlibat kes rasuah bernilai kira-kira RM2.5 juta.
- Suspek dipercayai meminta dan menerima rasuah untuk melantik syarikat yang dikawal ejen kartel, memonopoli lantikan terus dan sebut harga.
- Kontraktor mendakwa perlu membayar rasuah 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah sebelum wang disalurkan kepada pemimpin agensi.
- Op Drain jalankan serbuan di 25 lokasi beberapa negeri; SPRM menyita kira-kira RM1.5 juta tunai, kenderaan, jam tangan mewah dan barang kemas.
Mereka dipercayai meminta dan menerima rasuah daripada kontraktor sebagai dorongan melantik syarikat yang dikawal ejen kartel bagi memonopoli kerja-kerja lantikan terus dan sebut harga.
SPRM berkata, kesemua suspek terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita berusia antara 30 hingga 60-an.
Mereka ditahan antara pukul 8 malam hingga 11 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Perak.
“Daripada jumlah itu, lapan adalah penjawat awam manakala lima lagi orang awam serta pemilik syarikat.
“Tiga suspek membabitkan dua penjawat awam dan seorang pengarah syarikat direman selama dua hari bermula 16 hingga 17 Jun.
“Manakala 10 lagi direman lima hari sehingga 20 Jun selepas perintah reman dikeluarkan di Mahkamah Majistret Ipoh semalam,” menurut agensi itu menerusi kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati kesemua suspek dipercayai bersubahat melakukan perbuatan itu antara tahun 2024 hingga 2026 dengan meminta dan menerima rasuah sebagai balasan melantik syarikat kontraktor tertentu bagi memperoleh projek.
“Siasatan turut mendapati kontraktor yang ditahan mendakwa mereka perlu membayar rasuah antara 10 hingga 15 peratus kepada orang tengah sebelum disalurkan kepada pengarah dan bekas pengarah agensi kerajaan terbabit,” tambah kenyataan itu.
Pada Isnin lalu, Bahagian Siasatan SPRM melancarkan Op Drain di Kuala Lumpur, Selangor, Pahang dan Perak dengan melakukan serbuan di 25 lokasi melibatkan kediaman, premis pejabat serta agensi kerajaan.
Dalam operasi itu, SPRM menyita wang tunai kira-kira RM1.5 juta, sebuah jam tangan mewah, dua kenderaan, sebuah motosikal berkuasa tinggi dan barang kemas dianggarkan bernilai RM1 juta.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.