Cubaan seleweng 1,000 liter diesel ditumpaskan di Perak

Penguatkuasa KPDN sedang memeriksa lori dipercayai digunakan untuk menyimpan diesel. /Foto RTM

IPOH, 22 April – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya menumpaskan kegiatan penyelewengan minyak diesel menerusi Op Tiris 4.0 di Kampar, Perak malam tadi selepas risikan dijalankan selama seminggu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 1,000 liter diesel dari lori diubah suai dengan tangki tambahan kira-kira 3,000 liter.
  • Sindiket membeli diesel dari beberapa stesen, memindah ke tangki khas dan menjual semula di pasaran gelap kepada industri.
  • Seorang pemandu ditahan; lori, tiga tangki IBC, pam, hos dan resit dirampas; kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Serbuan sekitar pukul 9 malam itu berjaya merampas 1,000 liter diesel yang disimpan didalam sebuah lori yang telah diubah suai dengan pemasangan tangki tambahan berkapasiti kira-kira 3,000 liter di bahagian muatan.

Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata, operasi berkenaan tertumpu di sebuah stesen minyak yang dipercayai menjadi lokasi pengumpulan bahan api bersubsidi secara tidak sah.

Sindiket berkenaan dipercayai beroperasi pada waktu lewat malam bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

Menurutnya, modus operandi mereka adalah membeli diesel dari beberapa stesen minyak sebelum memindahkannya ke dalam tangki khas dan menjual semula di pasaran gelap kepada pihak industri.

Dalam operasi tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun yang merupakan pemandu lori telah ditahan untuk membantu siasatan.

Turut dirampas sebuah lori tiga tan, tiga unit tangki IBC, satu unit pam, satu set hos serta satu resit pembelian, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sekitar RM49,000.

Kes disiasat bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki memiliki dan menyimpan barang kawalan tanpa kebenaran bertulis.

Jika sabit kesalahan, individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Bagi syarikat pula, denda boleh mencecah RM2 juta sehingga RM5 juta bagi kesalahan berulang.