
KUALA LUMPUR, 22 April – Ketua Pengarah Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM), Datuk Hasni Hassan (juga dirujuk sebagai Datuk Hazri Hassan), 57, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan berjumlah RM136,115.16 bagi kepentingan peribadi.
- Didakwa menggunakan jawatan sebagai Ketua Pengarah JUPEM dan Pengerusi LJT untuk memperoleh dana membiayai penyertaan dalam beberapa persidangan antarabangsa.
- Pertuduhan melibatkan mesyuarat UN-GGIM di New York Ogos 2024 dan program geospatial di Madinah serta Jeddah antara 29 Jan hingga 4 Feb 2025.
- Mahkamah benarkan jaminan RM70,000 seorang penjamin, serah pasport, jaminan ansuran dua kali; sebutan semula kes pada 4 Jun.
Tertuduh yang hadir ke mahkamah kira-kira pukul 8 pagi membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Pengarah Jupem merangkap Pengerusi Lembaga Jurukur Tanah Malaysia (LJT) untuk memperoleh dana bagi membiayai penyertaannya dalam beberapa persidangan antarabangsa.
Pertuduhan pertama membabitkan jumlah RM30,201.16 yang mana beliau sendiri terlibat dalam mesyuarat membincangkan penyertaan dirinya ke mesyuarat jawatankuasa pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-GGIM) di New York, Amerika Syarikat pada Ogos 2024. Kesalahan didakwa dilakukan di Wisma LJT pada 3 Ogos 2024.
Pertuduhan Kedua pula melibatkan penyertaan dirinya dalam mesyuarat dan program berkaitan rangka kerja geospatial antarabangsa di Madinah dan Jeddah, Arab Saudi antara 29 Januari hingga 4 Februari 2025. Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah hotel terkemuka di ibu negara pada 31 Disember 2024 membabitkan nilai suapan RM105,914.
Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta yang sama. Jika sabit kesalahan, beliau boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Datuk Ahmad Akram Gharib memaklumkan kepada mahkamah kedua-dua pihak telah berbincang dan bersetuju untuk jumlah jaminan RM70,000 dengan seorang penjamin serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM70,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dipohon pihak pendakwaan, selain membenarkan permohonan tertuduh untuk menjelaskan jaminan secara ansuran sebanyak dua kali.
Tertuduh diwakili Peguam Muhammad Amin Othman dan Amirah Batrisyia Adam Khan.
Mahkamah menetapkan 4 Jun ini untuk sebutan semula kes.