RTM mohon maaf gangguan teknikal RTMKlik ketika siaran Perancis lawan Senegal


KUALA LUMPUR, 17 Jun – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memohon maaf susulan gangguan teknikal yang berlaku pada platform RTMKlik ketika siaran langsung separuh masa pertama perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 antara Perancis dan Senegal, awal pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan teknikal RTM dan penyedia teknologi segera bertindak untuk memulihkan perkhidmatan siaran digital.
  • RTM memahami kekecewaan peminat dan menghargai kesabaran serta sokongan sepanjang tempoh gangguan.
  • RTM komited memperkukuh infrastruktur penyiaran dan memastikan kelancaran 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, gangguan yang berlaku kira-kira jam 3 pagi itu berpunca daripada masalah teknikal luar jangka yang menyebabkan sebahagian pengguna mengalami kesukaran untuk mengakses siaran secara lancar menerusi platform digital berkenaan.

Menurut beliau, sebaik sahaja gangguan itu dikesan, pasukan teknikal RTM bersama penyedia teknologi berkaitan segera mengambil tindakan bagi memulihkan perkhidmatan dan memastikan siaran dapat diteruskan.

“Kami memahami kekecewaan peminat bola sepak yang menantikan perlawanan berkenaan dan menghargai kesabaran serta sokongan yang diberikan sepanjang tempoh gangguan berlaku,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ashwad berkata, sebagai penyiar rasmi kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia, RTM sentiasa komited untuk menyediakan pengalaman tontonan terbaik kepada rakyat negara ini.

Beliau berkata, RTM juga terus memperkukuhkan infrastruktur serta sistem penyiaran digital secara berterusan bagi mengurangkan risiko gangguan teknikal pada masa hadapan.

“RTM akan terus berusaha memastikan kelancaran siaran kesemua 104 perlawanan Piala Dunia FIFA 2026 yang merangkumi 94 siaran langsung dan 10 siaran tertunda, supaya dapat dinikmati seluruh rakyat Malaysia dengan lebih lancar dan berkualiti,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.