
PUTRAJAYA, 17 Jun – Pemimpin diingatkan supaya sentiasa bersikap tenang, terbuka dan berhati-hati dalam membuat pertimbangan sebelum menentukan sesuatu keputusan penting yang melibatkan kepentingan masyarakat dan negara, bagi mengelakkan kesan buruk yang akhirnya ditanggung rakyat.
- Kejayaan memerlukan perancangan rapi, kesabaran dan tindakan berlandaskan kebijaksanaan.
- Pemimpin harus elakkan tindakan impulsif; utamakan kepentingan jangka panjang dan rakyat.
- Umat Islam diseru hayati pengorbanan Hijrah: keberanian, ketabahan dan keikhlasan demi kebaikan bersama.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, peristiwa Hijrah Rasulullah SAW membuktikan bahawa sesuatu kejayaan tidak dicapai secara tergesa-gesa, sebaliknya memerlukan perancangan rapi, kesabaran serta tindakan yang berlandaskan kebijaksanaan.
“Penting untuk seseorang pemimpin bersifat tenang, terbuka serta berhati-hati dalam membuat pertimbangan berdasarkan maklumat yang mencukupi sebelum mengambil sesuatu keputusan penting.
“Amat malang bagi sesebuah negara dan bangsa apabila pemimpin memilih untuk bertindak secara impulsif, melatah dan melulu mengikut dorongan hati serta emosi, sehingga membuat keputusan tanpa berfikir panjang dan hanya mengutamakan kepentingan jangka pendek. Kesannya, kerosakan yang berlaku terpaksa dibayar dengan harga yang mahal oleh rakyat jelata yang tidak berdosa,” titah baginda.
Sultan Nazrin yang juga Timbalan Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1448 Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Masjid Putra, di sini, hari ini.
Dalam titah sama, baginda turut menyeru umat Islam supaya terus menghayati semangat pengorbanan yang ditunjukkan dalam peristiwa Hijrah Rasulullah SAW sebagai panduan menghadapi cabaran masa hadapan.
Baginda menzahirkan kebimbangan bahawa nilai pengorbanan kini semakin kurang dihayati dan dalam sesetengah keadaan hanya dilihat sebagai retorik tanpa penghayatan sebenar.
Menurut Sultan Nazrin, perjuangan tidak akan mencapai makna sebenar tanpa adanya pengorbanan, manakala pengorbanan pula bukan sekadar bersedia kehilangan sesuatu yang disayangi, tetapi kesanggupan meletakkan kepentingan yang lebih besar melebihi kepentingan diri sendiri.
“Pengorbanan memerlukan keberanian, ketabahan dan keikhlasan. Ia menuntut kesediaan meninggalkan keselesaan, menghadapi kesukaran serta menanggung cabaran demi mencapai matlamat yang lebih mulia,” titah baginda.