
JOHOR BAHRU, 8 September- Bapa kanak-kanak perempuan berusia dua tahun yang cedera parah selepas diserang lima ekor anjing liar di Batu Pahat, Sabtu lepas, merayu orang ramai supaya tidak menyebarkan gambar kecederaan anaknya.
- Kerajaan Johor akan menanggung kos rawatan mangsa yang sedang dirawat di Hospital Sultanah Aminah.
- Pemeriksaan perubatan menunjukkan kecederaan memerlukan pemantauan untuk tempoh panjang.
- Lima ekor anjing liar perlu ditangkap segera dan diperiksa bagi memastikan bebas daripada penyakit termasuk rabies.
- Doktor memantau keadaan kepala; luka tangan, kaki dan belakang telah dijahit selepas pembedahan pertama.
Muhammad Hamizi Hamdan berkata penyebaran gambar berkenaan amat mengganggu emosinya dan keluarga.
“Saya minta kepada semua yang mempunyai gambar kecederaan anak saya supaya jangan sebarkan. Ia sangat mengganggu emosi saya dan saya sendiri pun tidak sanggup melihatnya. Tolong jangan sebarkan lagi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor, Mohd Fared Mohd Khaled memaklumkan bahawa Kerajaan Johor akan menanggung kos rawatan mangsa, Nur Haira Wafiqah Mohammad Hamizi yang kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah di sini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan pihak kesihatan mendapati kecederaan mangsa memerlukan pemantauan untuk tempoh panjang.
Mohd Fared berkata lima ekor anjing liar yang terlibat perlu ditangkap segera bagi memastikan haiwan berkenaan bebas daripada penyakit termasuk rabies.
“Saya akan pastikan pihak berwajib mengambil kira semua perkara ini. Jika hanya anjing yang terlibat saja perlu diperiksa dan selepas disahkan bebas rabies, barulah anak ini boleh dikatakan bebas daripada rabies. Jika tidak, kerisauan berterusan dan berpanjangan,” katanya.
Beliau berkata operasi menangkap anjing liar di kawasan berkenaan dipergiat sepanjang minggu ini dengan kerjasama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sementara itu, ibu mangsa, Nur Wahyuni Harun berkata doktor masih memantau keadaan kepala anaknya, manakala kecederaan pada tangan, kaki dan belakang telah dijahit selepas menjalani pembedahan pertama.
“Doktor masih nak tengok keadaan kepala terutama bahagian tulang. Untuk tangan, kaki dan belakang, semuanya sudah dijahit.
“Semasa pembedahan pertama, doktor tidak jahit bahagian tertentu sebab mereka nak tengok keadaan kecederaan terlebih dahulu. Luka-luka itu semua sudah dibersihkan,” jelas beliau.