Sultan Selangor santuni 149 anak yatim menerusi Joyride Flight Kembara Semenanjung

Foto Facebook Amirudin Shaari

SUBANG, 1 Oktober – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyantuni dan meraikan 149 anak yatim menerusi Program Pengalaman Penerbangan (Joyride Flight) Kembara Semenanjung, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program menandakan permulaan Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor sepanjang Oktober.
  • Baginda berkenan berangkat ke Subang SkyPark bersama Tengku Permaisuri dan Raja Muda untuk menghantar anak yatim berlepas.
  • Program membabitkan anak yatim dari 29 rumah diselaraskan Selangor Youth, SAY dan Yayasan Islam Darul Ehsan, YIDE.
  • Anak yatim menaiki Boeing 737 MAX 8 Batik Air sekitar satu jam Subang-Pulau Pinang-Langkawi, ramai berkongsi pengalaman pertama naik kapal terbang dan berjumpa Tuanku.

Program kendalian Tourism Malaysia itu menandakan bermulanya secara rasmi Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sepanjang Oktober ini.

Baginda berkenan berangkat ke Subang SkyPark, diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah bagi menghantar anak-anak yatim berkenaan berlepas.

Program membabitkan penyertaan anak-anak yatim daripada 29 rumah yang diselaraskan Selangor Youth, (SAY) dan Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).

Anak-anak yatim berkenaan menaiki pesawat Boeing 737 MAX 8 milik Batik Air untuk penerbangan kira-kira satu jam dari Subang melalui ruang udara Pulau Pinang menuju Langkawi sebelum kembali ke Subang.

Sementara itu anak yatim yang ditemui berkata, pengalaman itu merupakan kali pertama mereka menaiki pesawat, selain berpeluang bertemu rakan baharu dan bersemuka secara dekat dengan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya rasa sangat gembira sebab tidak pernah naik kapal terbang sebelum ni. Rasa teruja naik kapal terbang dengan ramai orang, jumpa kawan baru. Ini pengalaman yang paling tidak dapat saya lupakan”, kata Siti Nurfarisha Mohd Noor.

“Pengalaman saya hari ni naik flight, seronok. Sebab dapat naik dengan kawan-kawan. Ini kali kedua. Sebelum ini, naik pegi balik ke Indonesia. Sepanjang naik dua kapal terbang, ini yang sangat menyeronokkan. Sebab dapat ramai kawan. Pengalaman pertama kali jumpa Tuanku memang gementar, sebelum ini tengok Tuanku cuma dalam gambar dan buku”, kata Adam Adliemie Haziq Abdullah.

Program itu memberi pengalaman istimewa kepada anak-anak yatim, selain mencipta kenangan bermakna sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.