
PUTRAJAYA, 1 Oktober – Inisiatif Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) berjaya menjimatkan kos pematuhan kepada Kerajaan sebanyak RM3.21 bilion, hasil 496 daripada 1,582 projek yang telah diselesaikan.
- Pengurusan aduan awam mencerminkan tahap kecekapan, empati dan iltizam kerajaan dalam membela nasib rakyat.
- Aduan berulang perlu dilihat sebagai petunjuk kewujudan kelompangan dalam sistem penyampaian dan dirawat segera.
- Sokongan semakan Pekeliling BPA bagi mengemas kini prosedur, galak penggunaan aplikasi pintar dan manfaatkan data SISPAA serta RR untuk solusi pantas.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, pencapaian itu menunjukkan usaha kerajaan memastikan penyampaian perkhidmatan awam memberi keberhasilan serta impak kepada masyarakat.
“Prinsip asas yang perlu kita pegang adalah memudahkan urusan rakyat,”katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Penarafan Naziran Pengurusan Aduan Awam Peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Tahun 2025 di sini, hari ini.
Beliau turut memaklumkan, pengurusan aduan awam bukan sekadar proses pentadbiran atau kerja birokrasi, sebaliknya mencerminkan tahap kecekapan, empati dan iltizam kerajaan dalam membela nasib rakyat.
“Aduan yang berulang perlu dilihat sebagai petunjuk wujudnya kelompangan dalam sistem penyampaian,”katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong langkah Biro Pengaduan Awam (BPA) menyemak Pekeliling Am Bilangan 2 Tahun 2022 berkaitan Penambahbaikan Pengurusan Aduan Awam bagi memastikan prosedur dan instrumen penilaian sentiasa dikemas kini selaras perkembangan teknologi digital serta peningkatan ekspektasi rakyat.
Bagi 2026, fokus Naziran Pengurusan Aduan Awam beralih kepada peringkat Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), selepas kementerian pada tahun lepas.
Naziran dari 14 Mei hingga 31 Julai itu menilai respons pantas, kompetensi pegawai, tadbir urus dan kecekapan sistem.
Antara amalan terbaik ialah penggunaan aplikasi pintar aduan di peringkat negeri.
Beliau turut menyarankan pentadbiran negeri memberi perhatian kepada fungsi Jawatankuasa Tetap Pengurusan Aduan Kerajaan Negeri (JKTPAN) serta memperhebat penggunaan Aplikasi Respons Rakyat (RR) sebagai sokongan kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA).
“Maklumat dan data yang diperoleh melalui SISPAA mahupun aplikasi RR perlu dimanfaatkan sepenuhnya untuk meneliti corak permasalahan rakyat, seterusnya merangka kaedah penyelesaian yang terbaik dan pantas” jelasnya.