
KUALA LUMPUR, 18 November – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjalankan siasatan dalaman bagi meneliti beberapa dakwaan yang dibuat ahli perniagaan, Bachar Kiwan, seperti dilaporkan oleh Sarawak Report sejak 16 Ogos lalu.
- Ketua Pesuruhjaya mengarahkan siasatan dalaman menyeluruh untuk menentukan tindakan dan langkah sewajarnya.
- Pertemuan pegawai SPRM dengan Bachar Kiwan adalah prosedur siasatan biasa; wakil AGC turut hadir, bukan pengiktirafan tuntutan.
- Terma ganjaran dan pembahagian hasil merupakan draf yang dikemukakan Bachar, tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani SPRM.
- SPRM menghentikan kerjasama selepas memperoleh dokumen rasmi melalui permintaan Bantuan Perundangan Bersama Kuwait; maklumat Bachar bukan lagi keutamaan.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, siasatan itu dilaksanakan susulan arahan Ketua Pesuruhjaya SPRM supaya penelitian menyeluruh dibuat bagi menentukan tindakan dan langkah sewajarnya.
Bagaimanapun, SPRM menjelaskan pertemuan antara pegawainya dengan Bachar Kiwan merupakan sebahagian daripada prosedur siasatan biasa untuk meneliti dan mengesahkan maklumat yang dikemukakan berkaitan usaha pemulihan aset kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Setiap perbincangan turut dihadiri wakil Jabatan Peguam Negara (AGC) dan tidak bermaksud suruhanjaya itu mengiktiraf sebarang tuntutan atau status Bachar Kiwan.
“Bachar Kiwan tidak dikategorikan sebagai individu yang dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 dan perkara ini telah dimaklumkan kepadanya ketika pertemuan pada 2 Disember 2025,” menurut kenyataan itu.
Berhubung dakwaan mengenai ganjaran dan pembahagian hasil pemulihan aset, SPRM menegaskan laporan berkenaan hanyalah draf terma yang dikemukakan oleh ahli perniagaan itu dan tidak pernah dipersetujui atau ditandatangani oleh suruhanjaya berkenaan.
SPRM turut menjelaskan bahawa urusan pelantikan peguam bukan dalam bidang kuasanya, sebaliknya menjadi hak individu terbabit. Penarikan diri firma guaman yang terlibat juga merupakan keputusan firma berkenaan.
Menurut kenyataan itu, SPRM memutuskan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bachar Kiwan selepas berjaya memperoleh dokumen rasmi dan rekod sah melalui permintaan Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dengan pihak berkuasa Kuwait.
Sehubungan itu, maklumat yang ditawarkan ahli perniagaan berkenaan tidak lagi menjadi keperluan utama dalam siasatan.
“SPRM sentiasa terbuka kepada mana-mana pihak yang ingin mengemukakan aduan berhubung perkara ini kepada agensi penguat kuasa, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“SPRM bersedia memberikan kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan yang dijalankan oleh agensi berkenaan demi memastikan segala dakwaan diteliti secara telus dan berlandaskan undang-undang,” menurut kenyataan itu.