
KUALA LUMPUR, 1 Oktober – Hubungan Malaysia-China terus berkembang dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan dan kebudayaan
- Kerjasama strategik dalam projek ECRL, teknologi 5G, kecerdasan buatan, pelabuhan dan industri nadir bumi membuka ruang manfaat bersama.
- Perdana Menteri menulis di Facebook selepas menerima kunjungan hormat perpisahan Duta Besar China, Ouyang Yujing.
- Anwar merakam penghargaan atas komitmen dan sumbangan Ouyang sepanjang perkhidmatan memperkukuh kerjasama dua hala.
- Perdana Menteri China, Li Qiang, menghantar buku tentang Hangzhou; kedua negara komited memperkukuh persahabatan dan meneroka bidang baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama strategik kedua-dua negara dalam bidang seperti Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), teknologi 5G, kecerdasan buatan (AI), pelabuhan dan industri nadir bumi turut membuka ruang baharu untuk manfaat bersama.
“Malaysia dan China telah membina jalinan yang kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, teknologi, pendidikan dan kebudayaan, malah kerjasama strategik seperti ECRL, teknologi 5G, kecerdasan buatan, pelabuhan dan industri nadir bumi turut membuka ruang baharu untuk manfaat bersama,” kata Datuk Seri Anwar.
Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menerima kunjungan hormat perpisahan daripada Duta Besar China ke Malaysia, Ouyang Yujing.
Datuk Seri Anwar turut merakamkan penghargaan atas komitmen dan sumbangan Ouyang sepanjang tempoh perkhidmatannya dalam memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara.
Dalam pertemuan itu, beliau turut menerima kiriman khas daripada Perdana Menteri China, Li Qiang berupa buku mengenai Hangzhou, yang baru-baru ini dikunjunginya dan merupakan kampung halaman Li.
“Kedua-dua negara akan terus memperkukuh persahabatan dan kerjasama yang sekian lama terjalin, selain meneroka bidang baharu demi kepentingan rakyat, keamanan dan kemakmuran rantau,” katanya dalam hantaran tersebut.