
PUTRAJAYA 1 Oktober – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) terus membangunkan inovasi bagi meningkatkan kecekapan serta kualiti penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
- Inovasi mesti menjadi budaya kerja yang konsisten, bukan sekadar untuk memenangi anugerah.
- Inovasi terbukti berkesan perlu diperluas dan diskalakan supaya manfaatnya dapat dinikmati secara lebih meluas.
- HIKPKT dan anugerahnya, termasuk ganjaran sebulan gaji, menggalakkan penyertaan meluas serta penghargaan kepada warga inovator.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata inovasi perlu menjadi budaya kerja KPKT yang bukan sahaja untuk memenangi anugerah, tetapi menjadi amalan yang konsisten dalam penyampaian perkhidmatan awam.
“Inovasi yang terbukti berkesan perlu diperluas serta diskalakan agar hasilnya dimanfaatkan dalam skala yang lebih besar,”katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Inovasi KPKT 2026.
Beliau turut menjanjikan hadiah sebulan gaji menteri kepada pemenang Anugerah Inovasi Perdana Menteri tahun ini sebagai penghargaan kepada warga KPKT.
HIKPKT 2026 mempertandingkan sembilan kategori dengan 54 penyertaan projek inovasi, melibatkan 43 projek Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) serta 11 projek Anugerah Inovasi Menteri (AIM) dengan penyertaan daripada pelbagai bahagian, jabatan dan agensi di bawah KPKT.