
KUALA LUMPUR, 8 Sept – Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan pemilik akaun Facebook untuk menangguhkan pembayaran ganti rugi RM250,000 kepada Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berhubung kes saman fitnah berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
- Mahkamah menolak permohonan menangguhkan perintah memadam pernyataan fitnah, perintah tegahan dan bayaran kos RM50,000.
- Mahkamah membenarkan penangguhan perintah permohonan maaf melalui akaun Facebook sehingga rayuan diputuskan.
- Rihaida mendapati kenyataan pertama memfitnah, tiga kenyataan lain gagal dibuktikan oleh plaintif.
- Plaintif mendakwa empat kenyataan fitnah termasuk dakwaan penyokong GISBH dan hubungan akrab; defendan menafikan dan kata aduan direka.
Pesuruhjaya Kehakiman Rihaida Rafie turut menolak permohonan Mohd Nawawi Abdul Razak, 39, selaku defendan untuk menangguhkan perintah memadam pernyataan fitnah dan perintah tegahan mengeluarkan pernyataan serupa di media sosial serta bayaran kos RM50,000.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Mohd Nawawi untuk menangguhkan perintah permohonan maaf kepada plaintif melalui akaun Facebook miliknya sehingga rayuan kes itu diputuskan di Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, peguam Mahmud Abdul Jumaat yang mewakili Mohd Nawawi berkata jika penangguhan penghakiman tidak dibenarkan, ia akan memprejudiskan anak guamnya yang telah memfailkan rayuan terhadap keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 12 Ogos.
“Sekiranya rayuan dibenarkan kelak, permohonan maaf yang telah dibuat akan menjejaskan reputasi defendan. Berkaitan ganti rugi, anak guam saya tidak berkemampuan untuk membayar kerana mempunyai masalah kewangan selain telah memadam hantaran itu,” katanya.
Peguam Fatima Zulaikha Ahmad Bashri yang mewakili Mohd Asri membantah permohonan itu dengan berkata masalah kewangan bukan keadaan istimewa (special circumstances) untuk mahkamah membenarkan penangguhan penghakiman.
Pada 31 Julai, Rihaida membenarkan sebahagian saman fitnah Mohd Asri selepas mendapati pernyataan pertama defendan adalah memfitnah namun plaintif gagal membuktikan tiga pernyataan lain memenuhi elemen fitnah.
Sehubungan dengan itu, Rihaida memerintahkan Mohd Nawawi membayar ganti rugi RM250,000 secara global dan membayar faedah ke atas jumlah ganti rugi itu pada kadar lima peratus setahun dari tarikh penghakiman sehingga penyelesaian penuh serta kos berjumlah RM50,000 kepada Mohd Asri.
Mahkamah juga membenarkan permohonan plaintif agar defendan membuat permohonan maaf menerusi akaun Facebook dalam tempoh tujuh hari bermula tarikh penghakiman, memadam pernyataan fitnah di akaun media sosial itu selain defendan atau pekerjanya dihalang mengeluarkan pernyataan fitnah di akaun serupa.
Mohd Asri yang juga pensyarah memfailkan saman pada 10 Okt 2024 dengan mendakwa defendan telah menerbitkan empat pernyataan fitnah dalam Facebook atas nama Mohd Nawawi Abd Razak pada 20 Sept 2024 yang boleh diakses oleh masyarakat umum.
Plaintif mendakwa pernyataan fitnah itu antara lain membawa maksud dirinya sebahagian daripada pemimpin atau penyokong Gerakan GISBH, mempunyai hubungan akrab dan membenarkan perbuatan khurafat dilaksanakan kerana mendapat ganjaran daripada GISBH.
Mohd Nawawi dalam pernyataan pembelaan yang difailkan pada 29 Nov 2024 menafikan dakwaan itu dan menyatakan aduan fitnah oleh plaintif adalah melampau, berlebihan dan direka bagi mendapatkan simpati mahkamah selain ia tidak benar. – BERNAMA