MyDCD sasar kutipan RM187.6 juta menerusi IPO

Chris Ow Yong / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 26 Oktober – Kutipan RM187.6 juta disasarkan MyDCD Berhad menerusi tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 17 November ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menawarkan 335 juta saham baharu pada harga 56 sen setiap saham dalam tawaran awam permulaan.
  • Lebih 90% hasil IPO akan digunakan untuk pengembangan perniagaan, modal kerja dan pengambilan kakitangan; kira-kira 8% untuk penyenaraian dan IT.
  • Syarikat melihat prospek cerah disokong pertumbuhan ekonomi digital, peningkatan keperluan infrastruktur dan penggunaan AI, merangsang permintaan MEPF.

Syarikat penyedia perkhidmatan kejuruteraan pusat data itu menawarkan 335 juta saham baharu pada harga 56 sen sesaham.

Ketua Pegawai Eksekutif MyDCD, Chris Ow Yong berkata, lebih 90 peratus daripada hasil IPO akan digunakan bagi menyokong pengembangan perniagaan, termasuk keperluan modal kerja dan pengambilan kakitangan tambahan.

“Selebihnya, kira-kira lapan peratus, akan digunakan bagi perbelanjaan penyenaraian dan penambahbaikan sistem teknologi maklumat,” katanya pada sidang media selepas pelancaran prospektus IPO syarikat itu, di sini.

Berdasarkan harga IPO berkenaan, MyDCD dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM1 bilion selepas penyenaraian.

Permohonan IPO dibuka hari ini dan akan ditutup pada pukul 5 petang, 2 November ini.

Menurut Chris lagi, syarikat turut merancang meneroka peluang di lokasi lain di Malaysia seiring prospek sektor pusat data yang semakin berkembang.

Beliau berkata, perkembangan ekonomi digital serta peningkatan keperluan infrastruktur teknologi dijangka terus menyokong permintaan terhadap perkhidmatan pusat data.

Sementara itu, Pengarah Projek dan Jualan MyDCD, Irwin Hon berkata, langkah kerajaan memperluas penggunaan kecerdasan buatan (AI) menerusi Belanjawan 2027 dijangka menjadi antara pemacu baharu kepada pertumbuhan industri berkenaan.

“Bagi perniagaan kami yang memberi tumpuan kepada pusat data, kami melihat prospek yang cerah. Pada masa ini, penggunaan AI dalam kalangan perusahaan masih rendah. Berdasarkan inisiatif kerajaan serta peningkatan keperluan perusahaan untuk menerima pakai teknologi AI, kami melihat peluang pertumbuhan yang besar,” katanya.

Menurutnya, peningkatan penggunaan AI berpotensi merangsang permintaan terhadap perkhidmatan integrasi sistem mekanikal, elektrikal, paip dan perlindungan kebakaran (MEPF), yang menjadi antara kepakaran utama MyDCD.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.