
KHARKIV, 27 Januari -Serangan udara Rusia menggunakan dron dan peluru berpandu menggegarkan Kharkiv, bandar kedua terbesar Ukraine, lewat malam tadi.
- Serangan udara Rusia merosakkan sebuah sekolah menengah dan 16 bangunan kediaman bertingkat.
- Lebih 80 peratus kawasan bandar Kharkiv terputus bekalan elektrik selepas kemudahan tenaga diserang.
- Suhu beku menyukarkan usaha pembaikan, pasukan kecemasan memindahkan penduduk dan memadam kebakaran.
Serangan itu menyebabkan kira-kira 80 peratus kawasan bandar dan sekitarnya terputus bekalan elektrik.
Datuk Bandar Kharkiv, Ihor Terekhov berkata, tiga peluru berpandu menghentam daerah perindustrian, termasuk sebuah kemudahan tenaga yang membekalkan elektrik kepada bandar itu.
Beliau memaklumkan, sebuah sekolah menengah (lyceum) turut rosak, selain 16 bangunan kediaman bertingkat mengalami kerosakan serius.
Suhu malam mencecah negatif 14 darjah Celsius, menyukarkan usaha pembaikan dan meningkatkan risiko keselamatan penduduk.
Pasukan bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran manakala pasukan kecemasan memindahkan penduduk ke lokasi selamat.
Penduduk, Nina Antonova, 67 tahun berkata, letupan berlaku secara tiba-tiba ketika beliau berada di rumah sebelum bergegas keluar bersama jiran lain.
Seorang lagi penduduk, Mariia Yermak, 73 tahun, menyifatkan letupan itu sangat kuat sehingga menyebabkan pintu dan tingkap rumah tercabut.
Gabenor Wilayah Kharkiv, Oleh Syniehubov memaklumkan, sekurang-kurangnya dua orang cedera dalam serangan berkenaan.
Ukraine sebelum ini melaporkan beberapa serangan besar sejak awal tahun yang menyasarkan infrastruktur tenaga dan kawasan awam, termasuk di Kyiv. -REUTERS