
BANGKOK, 23 April – Pemimpin Myanmar dilapor sedang “mempertimbangkan perkara yang baik” untuk tahanan politik, Aung San Suu Kyi, menurut diplomat tertinggi Thailand.
- Min Aung Hlaing mengetuai rampasan kuasa 2021, menggulingkan kerajaan Suu Kyi dan menahan pemimpin pergerakan pro-demokrasi.
- Beliau dinamakan presiden selepas pilihan raya yang pengamat antarabangsa sifatkan sebagai usaha menjenamakan semula pemerintahan tentera.
- Pengampunan kepada bekas presiden upacara Win Myint disifatkan penganalisis sebagai langkah penjenamaan untuk dapatkan pengiktirafan antarabangsa.
- Suu Kyi ditahan hampir lima tahun, keluarga terhad komunikasi, manakala pihak berkuasa kata kes adalah urusan mahkamah.
Perkara itu susulan pertemuan dengan Presiden baharu Myanmar, Min Aung Hlaing buat kali pertama.
Myanmar kini diterajui oleh Min Aung Hlaing sejak 2021, yang ketika itu sebagai ketua angkatan tentera telah menggulingkan kerajaan pimpinan Suu Kyi, serta menahan pemenang Hadiah Nobel Keamanan berkenaan.
Tindakan junta tentera Myanmar itu mencetuskan perang saudara di negara berkenaan.
Bulan ini, Hlaing mengambil alih peranan sebagai presiden selepas memenangi pilihan raya yang disifatkan oleh badan pemerhati demokrasi antarabangsa sebagai proses yang untuk menjenamakan semula pemerintahan tentera.
Menteri Luar Thailand, Sihasak Phuangketkeow, berkata beliau telah membangkitkan isu mengenai Suu Kyi ketika bertemu pemimpin Myanmar itu di ibu negara Naypyidaw pada Rabu.
“Presiden menyatakan bahawa beliau (Suu Kyi) dijaga dengan baik dan kerajaan Myanmar sedang mempertimbangkan perkara-perkara yang baik, tanpa memberikan butiran lanjut.
Ini sepatutnya menjadi satu petanda positif,” kata Sihasak dalam satu mesej video sebelum pulang ke Thailand, malam tadi.
Minggu lalu, Hlaing telah memberikan pengampunan kepada pembantu utama Suu Kyi, Win Myint, yang berkhidmat sebagai presiden istiadat dalam pentadbiran terdahulu dan turut ditahan semasa rampasan kuasa berlaku.
Beberapa penganalisis bagaimanapun menyifatkan langkah pengampunan itu sebagai sebahagian daripada usaha penjenamaan semula pentadbiran baharu Hlaing dalam usaha mendapatkan pengiktirafan atau keabsahan antarabangsa.
Pengumuman pengampunan Win Myint pada Jumaat lepas telah memperbaharui gesaan diplomatik agar Suu Kyi turut dibebaskan.
Tokoh berusia 80 tahun itu kini telah ditahan selama separuh dekad.
Ahli keluarga terdekat tokoh berkenaan mendakwa mereka hanya dibenarkan berkomunikasi dalam kadar yang sangat terhad.
Pihak berkuasa Myanmar sebelum ini menegaskan bahawa penahanan Suu Kyi atas pelbagai sabitan jenayah adalah urusan mahkamah.
Bagaimanapun, pengampunan Win Myint diberikan secara terus oleh pejabat Hlaing sebagai sebahagian daripada pengampunan besar-besaran sempena sambutan tahun baharu Myanmar.
Perintah pengampunan itu turut mengurangkan sebahagian daripada tempoh hukuman penjara 27 tahun yang dihadapi Suu Kyi.
Kumpulan hak asasi manusia mendakwa tuduhan terhadap Suu Kyi adalah rekaan semata-mata bertujuan untuk menyisihkan beliau dan membolehkan tentera kembali berkuasa, sekali gus menamatkan eksperimen demokrasi selama sedekad di negara itu.
Hlaing mengangkat sumpah sebagai presiden awam dua minggu lalu melalui pilihan raya yang mengharamkan penglibatan parti pimpinan Suu Kyi, selain menetapkan hukuman penjara sehingga 10 tahun bagi sebarang bentuk protes atau kritikan. – AFP