
BAGHDAD, 28 April – Coordination Framework, iaitu blok parlimen terbesar Iraq pada Isnin menamakan Ali Al-Zaidi sebagai calon perdana menteri, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik media tempatan.
- Coordination Framework, blok parlimen terbesar, menamakan Ali Al-Zaidi calon perdana menteri.
- Sesi mesyuarat diadakan di istana kerajaan Baghdad, disifatkan simbol kesinambungan institusi negara dan kuasa eksekutif berasaskan kehendak rakyat.
- Nouri Al-Maliki dan Mohammed Shia Al-Sudani menarik balik pencalonan, memudahkan usaha menamatkan kebuntuan politik.
- Coordination Framework pegang 130 hingga 140 kerusi, perlembagaan beri perdana menteri 30 hari bentuk kabinet dan dapat undi percaya Parlimen.
Dalam kenyataan yang disiarkan agensi berita negara INA, blok itu memaklumkan bahawa satu sesi mesyuarat diadakan pada Isnin di istana kerajaan di Baghdad.
Menurut kenyataan itu, lokasi berkenaan disifatkan sebagai “simbol kesinambungan institusi negara dan pusat kuasa eksekutif yang bersumberkan kehendak rakyat Iraq.”
Dalam mesyuarat itu, pemimpin blok berkenaan memuji prestasi kerajaan Perdana Menteri Mohammed Shia Al-Sudani sepanjang tiga tahun setengah.
Blok itu turut memuji “pendirian bersejarah yang bertanggungjawab” pemimpin State of Law Coalition, Nouri Al-Maliki, dan Sudani, yang juga ketua Reconstruction and Development Coalition kerana menarik balik pencalonan mereka untuk memimpin kerajaan seterusnya.
Maliki sebelum ini dicalonkan oleh pakatan itu untuk menjadi perdana menteri Iraq yang baharu, namun pencalonannya ditentang Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump.
Blok itu berkata langkah kedua-dua ahli politik berkenaan mencerminkan komitmen terhadap kepentingan nasional yang lebih tinggi, memudahkan usaha menamatkan kebuntuan politik dan membolehkan Coordination Framework memilih calon yang memenuhi keperluan jawatan perdana menteri serta cabaran pada peringkat semasa.
Coordination Framework ialah blok terbesar di Parlimen, dengan 130 hingga 140 kerusi daripada keseluruhan 329 kerusi, menurut keputusan pilihan raya terkini.
Dalam kenyataan berasingan yang disiarkan INA, pejabat presiden Iraq memaklumkan Presiden Nizar Amidi telah menugaskan Ali Al-Zaidi untuk membentuk kerajaan baharu.
Menurut Perlembagaan Iraq, perdana menteri dilantik perlu membentuk Kabinet dalam tempoh 30 hari selepas diberi mandat dan memperoleh undi percaya daripada Parlimen. – BERNAMA-ANADOLU