Rusia perluas senarai hitam pegawai EU

Moscow/ REUTERS

MOSCOW, 28 April – Rusia memperluas senarai hitam pegawai Kesatuan Eropah (EU) yang dilarang memasuki negara itu sebagai tindak balas terhadap pakej sekatan ke-20 yang dikenakan Brussels ke atas Moscow.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kementerian Luar menuduh EU meningkatkan sekatan unilateral, menilai tindakan Brussels merosakkan dan melanggar norma undang-undang antarabangsa.
  • Sekatan turut dikenakan terhadap aktivis masyarakat sivil dan ahli akademik Eropah yang mengambil pendirian bermusuhan terhadap Rusia.
  • Ahli parlimen negara anggota EU dan ahli Parlimen Eropah yang menyokong resolusi anti-Rusia turut disenaraihitamkan.
  • Kemasukan wakil institusi Eropah dan negara anggota yang terlibat menyalurkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine juga dilarang.

Kementerian Luar Rusia menerusi kenyataan memaklumkan, EU terus berusaha memberi tekanan kepada Rusia dengan meningkatkan langkah sekatan unilateral, sambil menegaskan tindakan Brussels bersifat merosakkan dan melanggar norma undang-undang antarabangsa.

“Kami turut mengenakan sekatan terhadap aktivis masyarakat sivil dan ahli akademik di negara Eropah yang mengambil pendirian bermusuhan terhadap Rusia.

“Selain itu sekatan sama turut dikenakan terhadap ahli parlimen negara anggota EU serta Parlimen Eropah yang menyokong resolusi dan rang undang-undang anti-Rusia,” menurut kenyataan itu.

Rusia juga melarang kemasukan wakil institusi Eropah serta negara anggota EU yang terlibat dalam keputusan menyalurkan bantuan ketenteraan kepada Ukraine.

Sementara itu, Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa pada Khamis memaklumkan EU meluluskan pakej pinjaman berjumlah 90 bilion euro kepada Ukraine, selain melaksanakan pusingan ke-20 sekatan terhadap Rusia.- REUTERS