Pasukan keselamatan AS tidak gagal lindungi Presiden ketika serangan

Foto AFP

WASHINGTON, 28 April – Pemangku Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Todd Blanche menepis dakwaan berhubung kegagalan pasukan keselamatan dalam insiden cubaan membunuh Presiden Donald Trump di sebuah hotel di sini pada Sabtu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pasukan keselamatan bertindak mengikut prosedur dan berjaya menggagalkan cubaan membunuh.
  • Suspek berada satu tingkat di atas dewan majlis, tidak berada dalam ruang sama dengan Presiden.
  • Seorang pegawai Perkhidmatan Rahsia ditembak di dada, terselamat kerana jaket kalis peluru dan membalas lima das tembakan.
  • Suspek, Cole Tomas Allen, didakwa tiga pertuduhan persekutuan termasuk cubaan membunuh Presiden berpotensi hukuman penjara seumur hidup.

Tegas Blanche, pasukan keselamatan bertindak mengikut prosedur ditetapkan hingga berjaya menggagalkan serangan tersebut.

Beliau mendedahkan, ketika kejadian, suspek tidak berada dalam ruang yang sama dengan Presiden.

“Saya ingin jelaskan bahawa lelaki ini berada satu tingkat di atas dewan majlis, dengan ratusan ejen persekutuan di antara dia dan Presiden,” katanya.

Mengulas lanjut, Blanche berkata, suspek berlari melepasi pengesan logam di aras teres hotel sambil membawa senapang panjang sebelum melepaskan tembakan.

“Seorang pegawai Perkhidmatan Rahsia ditembak di dada tetapi terselamat kerana memakai jaket kalis peluru. Pegawai itu membalas tembakan sebanyak lima das ke arah suspek sebelum lelaki tersebut berjaya ditahan,” ujarnya.

Jabatan Kehakiman telah memfailkan tiga pertuduhan persekutuan terhadap suspek yang dikenali sebagai Cole Tomas Allen.

Pertuduhan pertama membabitkan cubaan membunuh Presiden AS yang boleh dihukum penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan melibatkan membawa senjata api merentasi negeri untuk melakukan jenayah, yang boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun, serta melepaskan tembakan semasa melakukan jenayah keganasan yang membawa hukuman penjara minimum 10 tahun. – AFP