
KUALA LUMPUR, 28 April – Seorang lelaki didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Keningau hari ini selepas mengaku bersalah memuat naik kandungan jelik melampau menghina institusi kehakiman di Facebook pada 22 Disember lalu.
- Tertuduh didakwa bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
- MCMC menyatakan kandungan itu jelik melampau dan disebarkan secara sedar melalui akaun media sosial.
- Tertuduh telah membayar denda; hukuman di bawah Seksyen 233(2) boleh denda sehingga RM500,000 atau penjara dua tahun.
- MCMC menegaskan kandungan 3R boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang dan kebebasan institusi kehakiman.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi kenyataan hari ini memaklumkan, tertuduh Mohamad Azri bin Sahlam, 41 tahun, didakwa bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
“Tertuduh melakukan perbuatan itu secara sedar menggunakan akaun media sosial miliknya bagi menyebarkan kandungan berunsur jelik melampau.
“Tertuduh telah membayar denda berkenaan. Hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 233(2) Akta 588, yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua (2) tahun atau kedua-duanya sekali,” menurut kenyataan itu.
MCMC memandang serius penyebaran kandungan jelik melampau berunsur 3R yang boleh menjejaskan kedaulatan undang-undang serta kebebasan institusi kehakiman.
Justeru, orang ramai diingatkan menggunakan media sosial secara berhemah dan bertanggungjawab bagi memastikan ruang siber kekal selamat, selain tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang melanggar undang-undang.