Polis tumpaskan empat sindiket jenayah komersial, tahan 31 individu di Selangor

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar (dua, kiri) menunjukkan barangan rampasan pada sidang media mengenai kejayaan tangkapan sindiket ‘Call Centre’ dan kejayaan sindiket pengedaran dadah jenis bunga ganja di Dewan D’Cerana, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini / BERNAMA

SHAH ALAM, 28 AprilPolis menumpaskan empat sindiket dipercayai terlibat dalam jenayah komersial termasuk kes penipuan, hasil penahanan 31 individu dalam empat serbuan berasingan di sekitar Selangor bulan ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Polis merampas peranti elektronik bernilai kira-kira RM160,000 dalam beberapa serbuan di Selangor.
  • Sindiket guna Telegram terima wang dari luar negara, tukar kepada mata wang kripto sebelum dikembalikan kepada pemilik.
  • Sindiket penipuan judi dan pelaburan sasar warga China gunakan Tencent, Telegram, Alipay, WeChat Pay dan laman palsu Omnissa Horizon Client.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata susulan penahanan 21 warga asing dan 10 rakyat tempatan berusia antara 18 hingga 41 tahun itu, polis turut merampas pelbagai peranti elektronik bernilai kira-kira RM160,000.

Beliau berkata dalam serbuan pada 14 April lepas, polis membongkar taktik satu sindiket yang menjadikan sebuah rumah sebagai pusat penerimaan dan pertukaran wang disyaki diperoleh daripada hasil penipuan.

“Sindiket ini dikesan aktif sejak awal tahun ini, dan dipercayai menguruskan penerimaan wang dari luar negara antaranya dari Filipina, Taiwan, Hong Kong, Indonesia dan India. Kesemua urusan penerimaan wang itu dilakukan melalui platform Telegram.

“Wang itu kemudian akan ditukarkan dalam bentuk mata wang kripto sebelum dikembalikan semula kepada pemilik asal,” katanya pada sidang media kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Komersial Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata satu lagi sindiket yang serupa berjaya ditumpaskan pada 21 April lepas hasil serbuan di sebuah premis di Petaling Jaya melibatkan penahanan lapan individu yang dipercayai berperanan sebagai pengurus akaun.

Kesemua suspek yang dikesan menjalankan kegiatan itu sejak Disember tahun lepas berperanan menguruskan transaksi pindahan wang dengan melibatkan sembilan akaun bank tempatan.

“Dipercayai, kesemua wang diterima dan dipindahkan itu adalah hasil daripada aktiviti penipuan. Kelapan-lapan suspek bagi kes ini telah dituduh di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan / 120B Kanun Keseksaan pada 24 April lepas dan dikenakan hukuman denda RM5,000 seorang,” katanya.

Shazeli berkata dua lagi sindiket yang ditumpaskan adalah melibatkan kes penipuan dalam talian iaitu permainan judi dan pelaburan dengan menyasarkan warga China sebagai mangsa, hasil serbuan yang dilakukan di premis kediaman di Ampang dan Subang Jaya pada 20 April serta 24 April lepas.

Siasatan dilakukan mendapati sindiket itu dikesan menawarkan permainan judi dalam talian kepada mangsa melalui aplikasi Tencent dan Telegram dengan menjanjikan kemenangan kepada mangsa.

Beliau berkata mangsa yang berminat akan membuat bayaran melalui aplikasi Alipay dan WeChat Pay sebelum wang tersebut kemudiannya akan digunakan oleh ahli sindiket dalam permainan judi dalam talian yang tidak wujud.

“Sindiket penipuan pelaburan pula dikesan beroperasi sejak awal tahun dan tiga tangkapan telah dilakukan dengan suspek berperanan sebagai ‘operator’ bagi menawarkan pelaburan secara dalam talian melalui laman web Omnissa Horizon Client,” katanya. – BERNAMA