
MELAKA, 28 April – Seorang kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun lemas selepas dihanyutkan arus deras, ketika cuba menyelamatkan adiknya yang terjatuh ke dalam longkang di Taman Ayer Keroh Height di sini malam tadi.
- Sekumpulan kanak-kanak bermain berhampiran longkang sekitar 4.30 petang ketika hujan renyai dan arus deras.
- Muhammad Adam dibawa arus; Loqman dan rakan Yuvanath cuba menyelamatkan tetapi ketiga-tiga mereka turut hanyut.
- Bomba tiba jam 6.10 petang; Loqman ditemui tidak sedarkan kira-kira 20 minit kemudian dan diberi bantuan pernafasan sebelum dibawa ke hospital.
- Muhammad Loqman Afandy disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Melaka pada 8.09 malam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata Muhammad Loqman Afandy meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Hospital Melaka pada 8.09 malam tadi.
Beliau berkata siasatan mendapati sebelum kejadian, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Ayer Keroh itu bersama seorang lagi adiknya Muhammad Adam dan dua lagi rakan mereka masing-masing berusia 10 tahun pergi ke kawasan longkang berhampiran rumah mereka untuk bermain air kira-kira 4.30 petang semalam.
“Ketika itu, cuaca hujan renyai dan arus longkang deras. Muhammad Adam Afandi telah hanyut dibawa arus air yang deras dan melihat insiden itu, Muhammad Loqman dan seorang lagi rakannya dikenali Yuvanath cuba menyelamatkan mangsa.
“Ketiga-tiga mereka turut hanyut, namun Muhammad Adam dan Yuvanath berjaya menyelamatkan diri sebelum mendapatkan bantuan daripada jiran berhampiran,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata pada 5.45 petang, ibu mangsa yang menerima panggilan telefon daripada Muhammad Adam memaklumkan kejadian itu, kemudiannya telah membuat panggilan kecemasan bagi melapor dan mendapatkan bantuan awal di lokasi.
Christopher berkata pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada 6.10 petang dan Muhammad Loqman ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan kira-kira 20 minit selepas operasi mencari dan menyelamat dilakukan.
Beliau berkata anggota bomba telah memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.- BERNAMA