Cubaan lari gagal, kereta bawa lapan warga Bangladesh terbabas

Foto Polis

JELI, 28 Mei -Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan sembilan individu termasuk lapan warga Bangladesh selepas sebuah kereta dinaiki mereka terbabas di bahu jalan di Jalan Bukit Cermin, Kampung Sungai Rual, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • PGA merampas 10 biji pil yaba dalam kenderaan yang diserbu.
  • Tangkapan dibuat menerusi Op Taring Wawasan Kelantan selepas maklumat aktiviti membawa PATI diterima kira-kira pukul 7.30 pagi.
  • Pasukan mengesan sebuah kereta mencurigakan di Lebuhraya Timur-Barat sebelum cuba mengekori kenderaan terbabit.
  • Semua yang ditahan dibawa ke Hospital Jeli untuk rawatan sebelum diserahkan ke IPD Jeli untuk tindakan lanjut.

Dalam serbuan itu, PGA turut merampas 10 biji pil yaba yang ditemukan di dalam kenderaan terbabit.

Komander Briged Tenggara PGA, SAC Ahmad Radzi Hussain berkata, tangkapan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan itu dilakukan kira-kira pukul 7.30 pagi selepas menerima maklumat berkaitan kegiatan membawa pendatang asing tanpa izin (PATI).

Beliau berkata, serbuan kemudian mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di Lebuhraya Timur-Barat sebelum cuba mengekori kenderaan terbabit.

“Pemandu kereta itu bagaimanapun bertindak memecut laju selepas menyedari diekori pihak berkuasa sebelum kenderaan berkenaan terbabas di bahu jalan di Jalan Bukit Cermin, Kampung Sungai Rual.

“Hasil pemeriksaan menemukan seorang lelaki warga tempatan dipercayai pemandu bersama lapan lelaki warga Bangladesh selain 10 biji pil yaba,” katanya kepada RTM hari ini.

Ahmad Radzi berkata, semua tangkapan dibawa ke Hospital Jeli bagi mendapatkan rawatan sebelum diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli untuk tindakan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.