
BACHOK, 4 Oktober – Seorang wanita warga emas berusia 85 tahun ditemui meninggal dunia di belakang rumahnya di Kampung Pengkalan Baru di sini, pada Sabtu.
- Kejadian disedari selepas makanan yang dihantar tidak diambil; kakak mangsa mula mencari sekitar 10.30 pagi dan menghubungi adik.
- Mangsa tinggal seorang diri; keperluan makanan dan minuman dihantar oleh anak-anak atau anak saudara.
- Polis mengesahkan laporan; mayat dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut dan siasatan dijalankan.
Anak mangsa, Hindun Hamzah, 58, berkata kejadian disedari kakaknya, Hilmiah Hamzah, kira-kira 10.30 pagi selepas makanan yang dihantar kepada ibu mereka, Che Bidah Sulung, tidak diambil.
Katanya, Hilmiah kemudian menghubunginya sebelum mencari ibu mereka di sekitar rumah dan menemui mangsa di bahagian belakang rumah kira-kira 3.00 petang.
Hindun berkata ibunya tinggal seorang diri selama ini dan keperluan makanan serta minuman dihantar oleh anak-anak atau anak saudara.
“Pukul 10.30 pagi tadi, kakak saya beritahu ibu tak ambil nasi yang dihantar. Jadi, dia mula cari ibu dan telefon saya tanya sama ada ibu ada datang ke rumah saya.
“Lepas itu dia kata dia nak cari ibu. Dia cari sampai tiga kali, barulah jumpa ibu. Rumput di belakang rumah agak panjang dan mungkin ibu tengah bersihkan kawasan itu”.
“Kakak saya kemudian telefon saya pukul 3 petang dan beritahu ibu sudah ditemui. Saya pun tak tahu masa itu. Saya ingat ibu sihat macam biasa, sibuk buat kerja di rumah”, katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian.
Beliau berkata mayat mangsa dibawa ke Hospital Bachok untuk tindakan lanjut, manakala siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca kematian.