Pelajar perempuan ditemukan tidak bernyawa di sebuah sekolah di Yong Peng

Mangsa dikenali sebagai Irene Sofiya Mohd Khairool Faisal / Foto RTM

BATU PAHAT, 4 Oktober – Seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun ditemukan tidak bernyawa di kawasan dewan sebuah sekolah di Yong Peng, petang semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelajar dipercayai hadir kelas tambahan; ditemukan dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.
  • Polis dan forensik menjalankan siasatan; fakta masih dikumpul, terlalu awal untuk sahkan spekulasi.
  • Kerajaan negeri gesa tindakan tegas terhadap keganasan sekolah, minta kerjasama jabatan pendidikan dan sokongan kepada keluarga mangsa.

Mangsa yang merupakan pelajar Tingkatan Empat dipercayai berada di sekolah untuk menghadiri kelas tambahan sebelum ditemukan dalam keadaan lemah dan berlumuran darah.

Menurut laporan media tempatan, mangsa ditemukan selepas neneknya datang ke sekolah susulan menyedari cucunya tidak pulang ke rumah selepas kelas.

Mangsa dilaporkan masih memberikan reaksi ketika ditemukan sebelum tidak sedarkan diri.

Pasukan polis dan forensik kemudian tiba di lokasi bagi menjalankan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat berkata, pihaknya masih mengumpulkan fakta dan maklumat tepat berhubung kejadian serta terlalu awal untuk mengesahkan sebarang spekulasi yang berlegar.

Susulan kejadian itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Ghazali menegaskan, kerajaan negeri tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk keganasan, buli dan perlakuan jenayah di sekolah.

Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Pejabat Pendidikan Daerah diminta memberikan kerjasama kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

Beliau turut meminta semua pihak memberikan ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.

Kerajaan Johor bersama agensi berkaitan juga akan memberikan perhatian terhadap aspek keselamatan di sekolah, selain menyalurkan sokongan yang diperlukan kepada keluarga mangsa dan komuniti sekolah.

Siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif sebenar kejadian.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.