
KUALA LUMPUR, 4 Oktober – Perkhidmatan tren di Laluan Putrajaya mengalami kelewatan hari ini berikutan gangguan bekalan kuasa akibat kejadian kecurian kabel berhampiran Stesen Taman Equine.
- Perkhidmatan alternatif diaktifkan: tren gantian dan bas perantara disediakan untuk membantu pergerakan penumpang.
- Penstrukturan semula perkhidmatan: Kwasa Damansara berpatah balik di UPM, UPM berpatah balik di 16 Sierra setiap 10 minit; tren perantara setiap 7 minit.
- Bas perantara percuma disediakan setiap 15 hingga 20 minit melalui Stesen Serdang Jaya hingga Putrajaya Sentral.
- Penumpang dinasihatkan merancang perjalanan; anggota polis bantuan dan petugas ditempatkan, maklumat terkini disalurkan melalui media sosial dan MyRapid PULSE.
Rapid KL dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa kejadian itu mula dikesan pada pukul 5.24 pagi apabila sebuah tren tidak dapat bergerak di Stesen Taman Equine, sebelum pasukan teknikal digerakkan bagi menjalankan kerja pembaikan serta memulihkan bekalan kuasa.
Susulan gangguan tersebut, pihak operasi telah mengaktifkan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara bagi membantu pergerakan penumpang.
Menurut Rapid KL, perkhidmatan tren dari Stesen Kwasa Damansara kini berpatah balik di Stesen UPM dengan kekerapan 10 minit, manakala tren alternatif dari Stesen UPM pula berpatah balik di Stesen 16 Sierra dengan kekerapan yang sama.
“Selain itu, tren perantara di antara Stesen 16 Sierra ke Stesen Putrajaya Sentral disediakan dengan kekerapan setiap tujuh minit.
“Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara ulang-alik percuma dengan kekerapan 15 hingga 20 minit bergantung pada keadaan trafik semasa,” menurut kenyataan itu.
Laluan bas perantara berkenaan melibatkan Stesen Serdang Jaya, UPM, Taman Equine, Putra Permai, 16 Sierra, Cyberjaya Utara, Cyberjaya City Centre dan Putrajaya Sentral.
Disebabkan pelarasan operasi itu, penumpang dijangka mengalami masa menunggu yang lebih lama di platform, terutamanya di Stesen UPM, Stesen 16 Sierra dan Stesen Putrajaya Sentral.
Dalam pada itu, Rapid KL menasihatkan penumpang yang menggunakan Laluan Putrajaya untuk ke Sepang menerusi sambungan ERL di Putrajaya Sentral supaya merancang masa perjalanan, atau menggunakan laluan alternatif menerusi Stesen ERL KL Sentral dan Stesen ERL Bandar Tasik Selatan.
Bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang, anggota polis bantuan dan petugas stesen telah ditempatkan di platform serta ruang legar stesen untuk menghulurkan bantuan, selain pengumuman berkala dibuat di stesen.
Rapid KL menegaskan pihaknya memandang serius kejadian kecurian kabel yang menjejaskan kelancaran serta keselamatan operasi, dan maklumat terkini akan disalurkan dari semasa ke semasa menerusi saluran media sosial rasmi serta aplikasi MyRapid PULSE.