
KUCHING, 28 Mei- Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada ahli keluarga seorang bayi perempuan berusia 11 bulan yang meninggal dunia dipercayai lemas dalam baldi berisi air di Seremban baru-baru ini.
- Laporan lengkap berhubung kejadian belum diterima dan siasatan masih dijalankan.
- Perkara melibatkan keadaan keluarga, jadi punca sebenar kejadian masih belum diketahui.
- JKM memberi tumpuan kepada bantuan psikososial kepada ahli keluarga; kenyataan dibuat Nancy selepas Majlis Ibadah Korban Santubong.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata pihak JKM telah dimaklumkan mengenai kejadian itu dan kini dalam proses menemu bual ahli keluarga bagi mendapatkan gambaran sebenar insiden berkenaan.
Beliau berkata setakat ini laporan lengkap berhubung kejadian itu masih belum diterima dan siasatan masih dijalankan
“JKM Negeri Sembilan sedang mendapatkan maklumat lanjut dengan menemu bual ahli keluarga berhubung kes tersebut. Perkara ini melibatkan keadaan dalam keluarga, jadi buat masa ini kita masih belum mengetahui keadaan sebenar kejadian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Ibadah Korban Peringkat Parlimen Santubong di sini hari ini.
Datuk Seri Nancy berkata JKM Negeri Sembilan juga memberi tumpuan kepada bantuan psikososial memandangkan kes tersebut melibatkan ahli keluarga sendiri dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Terdahulu, bayi perempuan berkenaan ditemukan tidak sedarkan diri dalam keadaan tertelungkup dalam sebuah baldi berisi air ketika di bawah jagaan neneknya di Jalan Sri Permata Ladang, Seremban pada Selasa lalu.