
SEPANG, 28 April – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menggagalkan dua cubaan membawa masuk ubat-ubatan tidak berdaftar dan racun terkawal bernilai kira-kira RM7.7 juta menerusi dua operasi berasingan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
- Rampasan 3,300 unit suntikan bertanda Tirzide, disyaki mengandungi tirzepatide, nilai rampasan RM2,335,000.
- Rampasan 8,840 unit suntikan jenama Tirzide dan Tirzep, disyaki tirzepatide, dipercayai untuk pengedaran, nilai rampasan RM5.4 juta.
- Kes disiasat di bawah Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984; AKPS perkuat kawalan pintu masuk.
Komander AKPS KLIA, Mohd Safrie Zakaria berkata, kes pertama dikesan di Terminal 1 pada 26 April melibatkan seorang lelaki warga China yang tiba dari Bangladesh.
Jelasnya, kegunaan ubat tersebut biasanya digunakan untuk rawatan diabetes dan turut disalah guna bagi tujuan penurunan berat badan.
“Hasil rampasan sebanyak 3,300 unit ubat suntikan berlabel Tirzide bernilai RM2,335,000,” katanya.
Produk tersebut disyaki mengandungi tirzepatide, iaitu racun terkawal di bawah Jadual Pertama Akta Racun 1952, serta tidak berdaftar.
Beliau berkata demikian pada sidang media Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sempena kejayaan menumpaskan cubaan penyeludupan ubat-ubatan tidak berdaftar dan racun terkawal, di sini, hari ini.
Mohd Safrie turut memaklumkan, kes kedua melibatkan seorang wanita warga China yang ditahan di Terminal 2, sehari kemudian selepas pemeriksaan menemukan 8,840 unit ubat suntikan disyaki tidak berdaftar.
Menurut beliau, kedua-dua rampasan itu dipercayai untuk tujuan pengedaran dan bukan kegunaan peribadi, memandangkan kuantiti yang dibawa adalah terlalu besar.
“Hasil pemeriksaan menemukan 8,840 unit ubat suntikan disyaki tidak berdaftar yang dipercayai mengandungi tirzepatide, melibatkan jenama Tirzide dan Tirzep, dengan nilai rampasan RM5.4 juta.”
Kes disiasat di bawah Akta Racun 1952, Akta Jualan Dadah 1952 serta Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
AKPS dalam pada itu memberi amaran tegas kepada mana-mana pihak agar tidak cuba menyeludup masuk ubat-ubatan tidak berdaftar ke dalam negara.
Kawalan di pintu masuk akan terus diperkukuh bagi menjamin keselamatan rakyat.