Dua penjenayah utama kartel ditahan di Mexico

Audias Flores Silva (tiga dari kiri), ditahan pihak berkuasa Mexico pada Isnin/ AFP

MEXICO CITY, 28 April – Pihak berkuasa Mexico pada Isnin mengumumkan penahanan dua penjenayah utama, termasuk seorang sekutu rapat yang juga dilihat sebagai calon pengganti kepada pengasas Kartel Jalisco Generasi Baharu (CJNG) yang terbunuh pada Februari.

RINGKASAN BERITA AI
  • Audias Flores Silva didakwa membantu menjalin pakatan antara CJNG dan fraksi "Chapitos" Kartel Sinaloa.
  • Tentera Laut Mexico menahan Flores Silva di Nayarit; beliau juga dikehendaki pihak berkuasa AS untuk ekstradisi.
  • Penahanan Alexander Benavides Flores di Tamaulipas mencetuskan sekurang-kurangnya lapan sekatan jalan raya sekitar Reynosa.
  • Pentadbiran AS menekan Mexico; Claudia Sheinbaum menolak tawaran serangan dron atau penghantaran tentera darat.

Penganalisis keselamatan, David Saucedo berkata, Audias Flores Silva merupakan ‘orang kanan’ El Mencho sebelum kematiannya.

Menurut beliau, Flores Silva turut didakwa memainkan peranan menjalin pakatan antara CJNG dan kumpulan ‘Chapitos’, iaitu fraksi kartel Sinaloa yang dipimpin keluarga Joaquin Guzman.

Badan pemikir Insight Crime pula menyifatkan Flores Silva, yang dikenali sebagai ‘El Jardinero’, sebagai antara calon pengganti El Mencho.

Menurut Setiausaha Keselamatan, Omar Garcia Harfuch menerusi hantaran X, pasukan khas Tentera Laut Mexico menahan Flores Silva di negeri Nayarit.

Menurutnya, suspek turut dikehendaki pihak berkuasa Amerika Syarikat bagi tujuan ekstradisi.

Sebelum ini media melaporkan Nemesio Oseguera, atau ‘El Mencho’, dilaporkan maut pada Februari selepas cedera dalam pertempuran dengan tentera Mexico di negeri barat Jalisco, sekali gus mencetuskan gelombang sekatan jalan raya dan insiden tembak-menembak dengan pasukan keselamatan yang mengorbankan lebih 70 orang.

Dalam perkembangan berasingan, kerajaan negeri Tamaulipas di timur laut Mexico memaklumkan penahanan seorang lagi suspek dikenali sebagai Alexander Benavides Flores, anggota kumpulan jenayah yang beroperasi berhampiran sempadan AS-Mexico.

Penahanannya mencetuskan sekurang-kurangnya lapan sekatan jalan raya kumpulan jenayah di lebuh raya sekitar bandar sempadan Reynosa.

Jurucakap pasukan keselamatan Tamaulipas memaklumkan keadaan kembali terkawal dan tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden tersebut.

Media tempatan melaporkan suspek dikenali sebagai ‘R9’, ketua kumpulan Los Metros, merupakan salah satu fraksi Kartel Teluk yang semakin lemah sejak sedekad lalu susulan penahanan beberapa pemimpinnya.

Pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump turut memberi tekanan kepada rakan sejawatnya, Claudia Sheinbaum, untuk mempergiat tindakan terhadap kumpulan jenayah terancang.

Bagaimanapun, Sheinbaum berulang kali menolak tawaran Amerika Syarikat untuk melaksanakan serangan dron atau menghantar tentera darat bagi memerangi kartel dadah di Mexico.- AFP