fb fb fb fb fb

Firma perkapalan tangguh trafik di Laut Merah susulan serangan pemberontak Yaman

Kapal kargo, Galaxy Leader diiringi oleh bot Houthi di Laut Merah / Foto Fail Reuters

DUBAI, 16 Disember - Dua firma perkapalan terbesar dunia, Maersk dan Hapag-Lloyd pada Jumaat berkata mereka menangguhkan laluan melalui selat Laut Merah yang penting untuk perdagangan global, selepas serangan pemberontak Yaman di kawasan itu.

Houthi, yang menguasai sebahagian besar Yaman tetapi tidak diiktiraf di peringkat antarabangsa berkata mereka menyasarkan perkapalan untuk menekan Israel semasa perang dua bulan dengan Hamas di Semenanjung Gaza.

Ketegangan maritim telah menambahkan lagi kebimbangan bahawa konflik Gaza boleh merebak.

Syarikat pengangkutan Jerman Hapag-Lloyd berkata ia menghentikan lalu lintas kapal kontena Laut Merah sehingga 18 Dis, selepas Houthi menyerang salah satu kapalnya.

"Hapag-Lloyd menagguhkan semua lalu lintas kapal kontena merentasi Laut Merah sehingga Isnin," kata syarikat itu dalam satu kenyataan yang dihantar kepada AFP.

Firma Denmark, Maersk turut membuat pengumuman yang sama, sebelum Hapag-Lloyd mengumumkannya.

"Kami telah mengarahkan semua kapal Maersk di kawasan yang melalui Selat Bab al-Mandab untuk menghentikan perjalanan mereka sehingga diberitahu kelak," katanya.

Maersk berkata ia susulan "insiden membabitkan Maersk Gibraltar semalam (Jumaat)" serta serangan di mana pemberontak telah melanggar sebuah kapal kargo Hapag-Lloyd di Laut Merah.

Seorang pegawai pertahanan Amerika Syarikat mengenal pasti ia sebagai Al-Jasrah, berbendera Liberia, kapal kontena sepanjang 368 meter (1,207 kaki) yang dibina pada 2016.

"Kami mengetahu bahawa sesuatu yang dilancarkan dari wilayah Yaman yang dikuasai Houthi mengenai kapal ini yang rosak, dan terdapat laporan kebakaran," kata pegawai itu kepada AFP.

Komando Pusat AS di Timur Tengah (CENTCOM) mengesahkan di X, bahawa "sebuah UAV" telah dilancarkan dari Al-Jasrah telah menyebabkan kebakaran yang berjaya dipadamkan.

Serangan ke atas Al-Jasrah berlaku berhampiran Bab al-Mandab, selat sempit antara Yaman dan timur laut Afrika di mana sekitar 20,000 kapal melalui setiap tahun.

Kawasan itu menuju ke Laut Merah, kemudahan pelabuhan selatan Israel dan Terusan Suez, menjadikannya sebahagian daripada laluan strategik untuk penghantaran minyak dan gas asli Teluk.-AFP

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN