BEIJING, 4 Januari- Kapal perang China dan Amerika Syarikat (AS) yang berada di Laut China Selatan pada Khamis, menjalankan latihan saingan di perairan yang dipertikaikan, di tengah-tengah ketegangan yang memuncak melibatkan sekutu AS, Filipina.
Semalam, Komando Teater Selatan Tentera Pembebasan Rakyat (PLA) Beijing berkata tentera laut dan udaranya kekal menjalankan rutin rondaan meski dijadual berakhir hari ini.
PLA tidak menyebut di mana sebenarnya rondaan itu berlaku atau memberikan butiran khusus mengenai matlamat latihan.
Rondaan provokatif AS diketuai kumpulan kapal perang induk, USS Carl Vinson, dilapor menjalankan latihan dua hari bersama tentera laut Filipina.
Beijing yang menuntut hampir keseluruhan Laut China Selatan, telah mengabaikan keputusan tribunal antarabangsa dengan mendakwaa ia tidak mempunyai asas undang-undang.
China telah mengerahkan bot peronda di laluan air yang sibuk dan telah membina pulau buatan dengan kelengkapan ketenteraan bagi mengukuhkan tuntutannya.
Seorang pakar memberitahu AFP bahawa Beijing sedang berusaha untuk menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan yang dikawal mereka, selain menjadikan titik utama strategik bagi negara lain.
"Laut China Selatan menjadi zon pertahanan utama bagi China."
"Beijing juga menggunakan kawasan itu untuk tujuan peninjauan dan pengawasan", kata Michael Raska, penolong profesor dan pakar ketenteraan di Universiti Teknologi Nanyang Singapura.
China minggu ini menegaskan Filipina harus dipersalahkan atas peningkatan ketegangan, dengan kementerian luar berkata Manila telah memungkiri perjanjian, mengubah dasar, melanggar kedaulatan China dan membuat provokasi berulang kali selain mencetuskan situasi rumit.
"China akan mengambil langkah tegas terhadap sebarang pencabulan kedaulatan dan provokasi kami dan dengan tegas melindungi kedaulatan wilayah serta hak dan kepentingan maritim kami," petik kenyataan jurucakap kementerian, Mao Ning pada sidang akhbar, Disember lalu.- AFP