JOHANNESBURG, 5 November - Sekurang-kurangnya 25 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh apabila penyeludup sengaja menenggelamkan bot mereka di perairan berhampiran Comoros di Lautan Hindi pada malam Jumaat lalu.
Pertubuhan Antarabangsa bagi Migrasi (IOM) berkata, bot tersebut karam di antara pulau Anjouan di Comoros dan pulau Mayotte milik Perancis, kawasan laluan migrasi yang sering digunakan dan telah meragut ribuan nyawa selama bertahun-tahun.
Pada pagi Sabtu, nelayan tempatan berjaya menyelamatkan lima orang mangsa.
Bot itu difahamkan membawa sekitar 30 orang dari pelbagai negara, termasuk tujuh wanita dan sekurang-kurangnya enam kanak-kanak kecil.
IOM Comoros meluahkan rasa sedih atas kejadian tragis itu dan mengesahkan bahawa bot tersebut sengaja ditenggelamkan oleh penyeludup di antara pulau Anjouan dan Mayotte.
Anjouan adalah salah satu dari tiga pulau di perairan Comoros dan terletak kira-kira 70 kilometer dari Mayotte, yang menjadi wilayah rasmi Perancis sejak 2011.
Walaupun Mayotte adalah wilayah termiskin Perancis, kemudahan infrastruktur dan bantuan kebajikan yang disediakan menarik ramai migran dari Comoros yang ingin mencari kehidupan lebih baik.
Ramai daripada mereka sanggup membayar penyeludup untuk merentasi laut berbahaya dengan bot usang yang dikenali sebagai "kwassa-kwassa."
Menurut IOM, laporan Senat Perancis menganggarkan antara 7,000 hingga 10,000 orang telah meninggal dunia ketika cuba merentasi laut dari Comoros ke Mayotte antara tahun 1995 dan 2012, tetapi jumlah sebenar mungkin lebih tinggi.
Statistik terkini pada 2017 menunjukkan bahawa hampir separuh daripada penduduk Mayotte, yang berjumlah 320,000 orang, adalah migran, dengan 95 peratus daripada mereka berasal dari Comoros. - AFP