
IPOH, 23 September – Pelari pecut negara, Muhammad Azeem Mohd Fahmi antara atlet Perak yang diharap dapat membawa pulang pingat buat negara pada Sukan Asia di Jepun yang sedang berlangsung ketika ini.
- 33 atlet Perak mewakili Malaysia di Sukan Asia, diharap pamer aksi terbaik dan bawa pulang pingat.
- Kerajaan negeri akan beri insentif kepada atlet Perak yang meraih pingat berdasarkan kelulusan yang ditetapkan.
- Kerajaan negeri memantau perkembangan atlet, khususnya acara berpasukan yang masih dalam peringkat awal.
- Jelajah AIM TVET Perak Tengah fokus agroteknologi moden, pameran dan demonstrasi, sasaran hampir 1,000 pengunjung, 150 peserta pertama dapat SSPN percuma.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata 33 atlet Perak mewakili Malaysia di temasya tersebut dan diharap mempamerkan aksi terbaik.
“Pada sesi yang lepas dia (Muhammad Azeem) dapat pingat gangsa, jadi mungkin ada kilauan yang lebih baik yang kita harapkan daripada Azeem.
“Atlet kita yang lain beraksi dalam acara berpasukan termasuk hoki, kriket dan ragbi, kita mengharapkan semua atlet Perak yang bertanding di Sukan Asia ini dapat mempamerkan aksi yang baik dan ada yang dapat membawa pingat untuk negara,” katanya pada sidang media sempena Jelajah AIM TVET with Cikgu Din peringkat Daerah Perak Tengah, di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini.
Beliau berkata kerajaan negeri akan memberikan insentif tertentu kepada atlet negeri yang berjaya meraih pingat berdasarkan keputusan dan kelulusan yang telah ditetapkan.
Datuk Khairudin berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan atlet Perak yang kebanyakannya masih beraksi pada peringkat awal pertandingan, khususnya dalam acara berpasukan.
Sementara itu, Program Jelajah AIM TVET with Cikgu Din peringkat Daerah Perak Tengah yang akan berlangsung Sabtu ini memberi fokus kepada bidang agroteknologi moden, selaras dengan pengkhususan daerah berkenaan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030.
Beliau berkata penganjuran program dijadual berlangsung di Dewan Terbuka Ngah Sagor, Parit dari 8 pagi hingga 4 petang dengan sasaran hampir 1,000 pengunjung itu, bertujuan mengubah persepsi masyarakat yang masih menganggap Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai pilihan kedua.
“Pengkhususan bagi daerah Perak Tengah sememangnya adalah TVET, terutamanya yang melibatkan sektor agroteknologi moden.
“Sebab itu dalam Jelajah AIM TVET kali ini kita memberi tumpuan kepada agrotek dengan penglibatan agensi-agensi berkaitan,” katanya
Datuk Khairudin berkata antara pengisian utama ialah pameran dan demonstrasi kemahiran, reruai institusi pengajian tinggi awam dan swasta, sesi perkongsian ikon TVET serta pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) secara percuma kepada 150 peserta terawal.- BERNAMA