
KUALA LUMPUR, 23 September – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat Malaysia agar memberikan sokongan padu kepada skuad Harimau Malaya yang akan memulakan cabaran dalam kejohanan sulung Piala ASEAN FIFA 2026 mulai Jumaat ini.
- Beliau mendoakan agar skuad kebangsaan mempamerkan aksi cemerlang dan membawa pulang kejayaan untuk tanah air.
- Harimau Malaya akan mulakan kempen menentang Bangladesh, kemudian berdepan Indonesia dan Singapura dalam saingan peringkat kumpulan.
- Kejohanan ini hasil kerjasama sejarah ASEAN dengan FIFA, diumumkan sewaktu Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 dan berlangsung hingga 5 Oktober.
Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya, beliau mendoakan agar skuad kebangsaan mampu mempamerkan aksi cemerlang, sekali gus melakar kejayaan buat tanah air.
“Ayuh kita berikan sokongan padu kepada pasukan negara. Semoga mereka membawa pulang kejayaan buat Malaysia!” katanya.
Skuad Harimau Malaya dijadual memulakan kempen kejohanan menentang Bangladesh pada Jumaat ini, sebelum meneruskan saingan peringkat kumpulan menentang dua negara tetangga iaitu Indonesia dan Singapura.

Mengimbau kembali detik penganjuran kejohanan itu, Datuk Seri Anwar berkata inisiatif berkenaan diumumkan ketika Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di Kuala Lumpur tahun lalu, sewaktu Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN.
Menurut Perdana Menteri, kejohanan baharu ini merupakan hasil daripada pemeteraian kerjasama bersejarah antara ASEAN dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) yang disaksikan sendiri oleh beliau pada ketika itu.
Kejohanan berprestij edisi pertama itu bakal membuka tirai esok dan dijadual berlangsung hingga 5 Oktober, menyaksikan Indonesia dan Hong Kong menjadi tuan rumah bersama.