1,042 lepasi uji bakat Jaguh Rakan Muda musim baharu

Sesi uji bakat program Jaguh Rakan Muda musim kedua/ JBSN (Foto kecil: Azura Abidin, Ketua Pengarah JBSN)

KUALA LUMPUR, 24 September- Jaguh Rakan Muda musim kedua mencatat peningkatan penyertaan apabila 1,042 peserta berjaya melepasi sesi uji bakat, hampir dua kali ganda berbanding musim pertama tahun lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Minat dan kesedaran golongan belia terhadap Jaguh Rakan Muda semakin berkembang, menurut Ketua Pengarah JBSN Azura Abidin.
  • Sesi uji bakat diadakan di enam zon melibatkan enam negeri; satu hari tambahan di ibu negara akibat permintaan tinggi di Lembah Klang.
  • Musim kedua menampilkan sembilan episod, hadiah kemenangan meningkat kepada RM150,000, dan mula ditayangkan 10 Oktober di saluran Okey.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin berkata peningkatan itu menunjukkan minat dan kesedaran golongan belia terhadap program berkenaan semakin berkembang.

“Kalau dibandingkan dengan tahun lepas, hanya 562 peserta yang lulus uji bakat, manakala tahun ini kita dapat 1,042 orang.

“Kita nampak kepekaan golongan belia terhadap program Jaguh Rakan Muda semakin meluas dan ia memberi gambaran bahawa program ini semakin mendapat tempat di hati anak muda,” katanya ketika ditemui media selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini hari ini.

Menurutnya, peningkatan penyertaan itu turut didorong penganjuran sesi uji bakat di enam zon membabitkan enam negeri, selain permintaan tinggi khususnya di Lembah Klang.

Malah, katanya, pihak penganjur terpaksa menambah satu hari sesi uji bakat di ibu negara susulan permintaan tinggi daripada golongan belia.

“Permintaan agak tinggi khususnya di Kuala Lumpur dan Selangor. Kita tambah satu hari berbanding dua hari yang ditetapkan sebelum ini dan kita penuhi hasrat golongan belia yang mahu menyertai program ini,” katanya.

Azura berkata musim kedua Jaguh Rakan Muda turut menampilkan sembilan episod berbanding lima episod pada musim lalu, manakala hadiah kemenangan meningkat kepada RM150,000 berbanding RM100,000 sebelum ini.

Jaguh Rakan Muda musim kedua mula ditayangkan pada 10 Oktober ini menerusi saluran Okey bersempena Hari Sukan Negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.