HSN 2026: KBS sedia pilihan alternatif jika jerebu berterusan

Azura Abidin, Ketua Pengarah JBSN/ RTM

KUALA LUMPUR, 24 September- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersedia menyediakan pilihan alternatif bagi penganjuran Hari Sukan Negara (HSN) 2026 pada Oktober ini sekiranya keadaan jerebu masih belum reda.

RINGKASAN BERITA AI
  • HSN 2026 bertemakan "Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI)".
  • Program menampilkan teknologi dan AI termasuk demonstrasi taekwondo maya, e-sukan dan Ekspo Industri Sukan 2026.
  • Acara berlangsung 9 hingga 11 Oktober di Pekarangan TM Stadium Nasional, Bukit Jalil.
  • Penganjuran di seluruh negara bertujuan menggalakkan masyarakat menjadikan sukan sebahagian gaya hidup.

Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin berkata pihaknya akan memantau perkembangan Indeks Pencemar Udara (IPU) dari semasa ke semasa serta mendapatkan nasihat pihak berkaitan berhubung penganjuran program itu.

“Dengan keadaan jerebu sekarang ini, beberapa program anjuran KBS terpaksa ditangguhkan. Menjelang HSN pula, kita akan terus memantau keadaan dari semasa ke semasa serta mendapatkan nasihat daripada pihak berkaitan.

“Kita juga perlu menyediakan pilihan kedua sekiranya keadaan jerebu masih belum reda,” katanya ketika ditemui RTM selepas menjadi tetamu rancangan Selamat Pagi Malaysia di Angkasapuri di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azura berkata HSN 2026 turut mengetengahkan teknologi dan kecerdasan buatan (AI), termasuk demonstrasi taekwondo secara maya, e-sukan dan Ekspo Industri Sukan 2026.

“Perkembangan teknologi dalam pelbagai bidang termasuk sukan semakin pesat. Justeru, kita akan membawa bersama pihak industri yang terlibat dalam bidang teknologi dan kecerdasan buatan (AI) dalam sukan.

“Taekwondo biasanya dipertandingkan secara fizikal, tetapi kali ini kita akan mempamerkan bahawa sukan itu juga boleh dilakukan secara maya menggunakan teknologi,” katanya.

HSN 2026 bertemakan ‘Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI)’ akan berlangsung dari 9 hingga 11 Oktober ini di Pekarangan TM Stadium Nasional, Bukit Jalil di sini.

Majlis perasmian HSN 2026 peringkat kebangsaan dijadual berlangsung pada 10 Oktober, bermula 7.30 pagi di lokasi sama.

HSN 2026 yang dianjurkan di seluruh negara bertujuan menggalakkan masyarakat menjadikan sukan sebagai sebahagian daripada gaya hidup.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.