
SEPANG, 25 September – Kejayaan skuad eFootball negara meraih pingat perak pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 diharap menjadi pemangkin kepada usaha memperkukuh pembangunan bakat serta ekosistem pertandingan eFootball di Malaysia.
- Kewujudan liga profesional penting untuk menyediakan platform dan meningkatkan tahap persaingan dengan negara lebih tersusun seperti Thailand dan Indonesia.
- Malaysia tewas 2-4 agregat kepada Iran dalam aksi akhir; Farish menang 2-1 mudah alih, Hariz tewas 0-3 konsol.
- Hariz berharap kategori konsol diberi perhatian supaya lebih banyak kejohanan dianjurkan dan bakat muda dapat diketengahkan.
- MESF merancang menubuhkan liga profesional eFootball sebagai landasan mencungkil bakat baharu; eFootball dan E-Racing dicadang untuk Sukan SEA Malaysia 2027.
Atlet e-sukan negara, Farish Luzman Muhammad Farid Sellekumar berkata, kewujudan liga profesional penting bagi menyediakan platform kepada pemain tempatan meningkatkan tahap persaingan, khususnya dengan negara yang mempunyai ekosistem eFootball lebih tersusun.
“Kepentingan liga ini adalah untuk kita bersaing dengan negara luar, terutama Thailand dan Indonesia. Mereka sudah mempunyai liga yang betul-betul untuk pemain profesional. Jadi, kita mahu wujudkan perkara yang sama,” katanya.
Malaysia meraih pingat perak selepas tewas 2-4 secara agregat kepada Iran dalam aksi akhir, dengan Farish terlebih dahulu menang 2-1 dalam kategori peranti mudah alih, sebelum Muhammad Hariz Hazmi Hakimin tewas 0-3 dalam kategori konsol.
Sementara itu, Hariz berharap lebih banyak kejohanan kategori konsol dianjurkan bagi membuka ruang kepada bakat muda untuk diketengahkan.
“Harapan saya selepas kami mendapat pingat perak ini, banyak pihak membuka mata terhadap kategori konsol dan tidak mengetepikannya supaya selepas ini lebih banyak kejohanan konsol diadakan,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Muhammad Naim Al Amin Saharudin berkata, pihaknya sedang merancang penubuhan liga profesional eFootball sebagai platform untuk mencungkil bakat baharu.
“Kita sudah berbincang untuk menumbuhkan satu liga profesional. Ia akan menjadi landasan untuk kita mencari bakat-bakat baharu dan diketengahkan melalui pertandingan di peringkat profesional,” katanya.
Beliau turut memaklumkan, eFootball dan E-Racing antara acara yang dicadang untuk dimasukkan dalam kategori Sukan SEA Malaysia 2027.