Hoe Yean intai peluang latihan di luar negara

Atlet renang negara, Khiew Hoe Yean./Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 21 April – Jaguh renang negara, Khiew Hoe Yean, memberi bayangan bahawa beliau terbuka untuk menjalani latihan di luar negara pada masa hadapan bagi meningkatkan lagi kualiti prestasinya di peringkat antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menerima insentif tertinggi IPT 2025; penuntut Universiti UCSI menerima ganjaran RM14,250.
  • Pengiktirafan atas dua emas, satu perak, satu gangsa (Sukan SEA) dan satu perak serta dua rekod kebangsaan (WUG).
  • Fokus persiapan untuk Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan SEA 2027 menumpukan acara berpasukan, khususnya acara berganti-ganti.
  • Tekanan khusus pada teknik takeover untuk memperbaiki masa tindak balas dan catatan masa acara berganti-ganti.

Menurut Hoe Yean, walaupun buat masa ini dia kekal komited dengan jadual latihan sedia ada, beliau tidak menolak kemungkinan untuk berpindah sekiranya menerima tawaran yang tepat dan mampu membantu kerjaya sukannya.

“Saya terbuka untuk mempertimbangkan tawaran (latihan di luar negara) pada masa depan. Namun, ia bergantung kepada peluang yang ada dan jemputan yang benar-benar dirasakan sesuai untuk perkembangan saya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan Atlet Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) 2025, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hoe Yean yang juga penuntut Universiti UCSI, muncul sebagai penerima insentif tertinggi pada majlis tersebut apabila membawa pulang ganjaran berjumlah RM14,250.

Insentif itu diberikan sebagai pengiktirafan atas pencapaian cemerlangnya yang menyumbang dua pingat emas, satu perak, dan satu gangsa pada Sukan SEA, selain meraih satu perak serta memecahkan dua rekod kebangsaan di Sukan Universiti Dunia (WUG).

Mengulas mengenai persiapan bagi menghadapi kejohanan besar seperti Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dan Sukan SEA 2027, Hoe Yean menjelaskan bahawa fokus utama pasukan kini tertumpu kepada memantapkan acara berpasukan, khususnya acara berganti-ganti (relay).

Menurutnya, penekanan khusus diberikan terhadap teknik ‘takeover’ atau masa tindak balas perenang ketika mengambil giliran bagi memastikan catatan masa yang lebih pantas.

“Untuk acara berganti-ganti, kami memberikan tumpuan penuh kepada teknik ‘takeover’. Aspek teknikal ini sangat kritikal kerana ia boleh memberikan kelebihan catatan masa yang lebih baik berbanding permulaan biasa,” jelasnya.